Kerajaan lengkapkan Akta Imuniti lindungi dari tuntutan asing

Anwar ketika berucap pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melengkapkan Akta Imuniti Negara bagi melindungi Malaysia daripada pelbagai tuntutan asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, proses penggubalan undang-undang itu di peringkat draf.

"Itu masih dalam draf," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir; Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Presiden Pengasas Institut Demokrasi (Ideas), Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 4 Julai lalu berkata, RUU bagi membentuk akta imuniti yang kini dalam peringkat dasar dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober depan.

Beliau berkata, undang-undang berkenaan akan mencerminkan prinsip am undang-undang antarabangsa mengenai kekebalan beraja, perkhidmatan berkesan kepada negara asing, menegakkan hak dan kepentingan pihak berkaitan, menjaga kedaulatan negara serta mempromosi hubungan baik dengan negara lain.

Akta Imuniti Negara bertujuan mengkodifikasikan prinsip kekebalan negara sebagai sebahagian undang-undang Malaysia, mencerminkan usaha Malaysia dalam memastikan kedaulatan negara dilindungi dalam hal tuntutan.

Pada 5 Jun lalu, Sekretariat Khas Tuntutan Sulu berkata, Malaysia akan terus mengambil segala langkah aktif bagi mengukuhkan lagi imuniti kedaulatannya dan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam usahanya memastikan timbang tara dihormati di peringkat antarabangsa berhubung tuntutan kumpulan yang mendakwa waris kepada Sultan Sulu.

Ia termasuklah mengambil tindakan terhadap mana-mana rakyat Malaysia yang didapati memberikan sokongan material, secara langsung atau tidak langsung, kepada pihak yang menuntut atau kepada mana-mana pihak bersekutu dalam timbang tara terhadap Malaysia.