Cadang bentang RUU Imuniti Negara pada sidang Parlimen Oktober

Azalina menyampaikan ucapan secara maya pada majlis Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Selasa. - Foto Bernama
Azalina menyampaikan ucapan secara maya pada majlis Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-Undang Imuniti Negara yang kini dalam peringkat dasar pada sidang Parlimen Oktober depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, undang-undang berkenaan akan mencerminkan prinsip am undang-undang antarabangsa mengenai kekebalan beraja, perkhidmatan berkesan kepada negara asing, menegakkan hak dan kepentingan pihak berkaitan, menjaga kedaulatan negara serta mempromosi hubungan baik dengan negara lain.

"Akta Imuniti Negara bertujuan mengkodifikasikan prinsip kekebalan negara sebagai sebahagian undang-undang Malaysia, mencerminkan usaha Malaysia dalam memastikan kedaulatan negara dilindungi dalam hal tuntutan,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika berucap secara dalam talian pada Kolokium Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa 2023 yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di sini pada Selasa.

Menurut Azalina, pada 6 Jun 2023, kerajaan Malaysia memperoleh kemenangan bersejarah dalam pertikaian undang-undang berterusan dengan kumpulan Sulu apabila Mahkamah Rayuan Paris mendapati bahawa penimbang tara secara salah mengekalkan bidang kuasanya.

"Keputusan ini telah mengukuhkan kedudukan dan keyakinan yang besar kepada pendirian tegas Malaysia dalam perkara ini. Lebih penting, keputusan bersejarah terkini oleh Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun 2023 adalah keputusan pertama menolak percubaan pemohon untuk mengiktiraf dan menjalankan penganugerahan akhir yang didakwa.

"Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini akan menyumbang kepada kejayaan berikutnya dalam prosiding berterusan yang dilancarkan oleh Kerajaan untuk menentang pengiktirafan dan pelaksanaan Penganugerahan Akhir di bidang kuasa lain, termasuk di Luxembourg," katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapan perasmiannya menggesa masyarakat global untuk bersama-sama Sabah dalam menolak tuntutan tidak berasas oleh kumpulan Sulu, yang mengancam bukan sahaja Malaysia tetapi juga prinsip yang menyokong ketenteraman antarabangsa.

"Masyarakat antarabangsa memainkan peranan penting dalam menyokong pendirian Malaysia dalam perkara ini. Kami berterima kasih atas solidariti yang dizahirkan oleh rakan-rakan dan sekutu kami, yang memahami kepentingan menegakkan prinsip kedaulatan dan integriti wilayah.

"Keputusan terbaru di Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan di Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda adalah bukti komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan dalam melindungi hak, integriti dan kedaulatan Sabah,” katanya.

Hajiji mengulangi bahawa kerajaan Sabah dengan tegas menolak award akhir yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 dan tidak mengiktiraf kesahannya.

"Kami menganggap ia tidak berasas, tidak mempunyai sebarang asas undang-undang atau sejarah. Kami melihatnya sebagai percubaan untuk menjejaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia, terutamanya berkaitan negeri Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, award akhir itu telah membangkitkan pertikaian undang-undang antarabangsa yang berterusan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu tersebut.

Beliau berkata, award itu telah mencetuskan perbincangan dan perbahasan yang meluas, memerlukan perhatian dan respons kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan.

"Saya berkeyakinan penuh terhadap kerajaan Persekutuan yang telah bekerja keras bersama-sama pejabat Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk menangkis cerita palsu yang disebarkan oleh mereka yang menyokong tuntutan Sulu.

"Kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk menangani kes ini,” katanya. - Bernama