'Nama saya Ahmad, tetapi bukan pengganas' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap pada persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika berucap pada persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23. - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG - "Nama saya juga bermula dengan Ahmad, tetapi saya bukan seorang pengganas," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian sebagai contoh bahawa nama seseorang bukan boleh dikategorikan sebagai pengganas seperti mana sebuah laporan antarabangsa bahawa lebih 98 peratus nama dalam senarai pemantauan Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terdiri daripada nama orang Islam.

Menurut beliau, nama Ahmad dipilih oleh ibu bapanya sebelum nama seterusnya iaitu Zahid sebagai nama penuh.

Ahmad Zahid berkata, beliau ada membaca artikel yang dikeluarkan oleh satu kumpulan Islam di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa majoriti nama dalam senarai pemantauan FBI adalah terdiri daripada nama orang Islam.

"Apa yang berlaku tersebut adalah salah tafsiran dan sekadar satu prasangka.

"Pada dasarnya, bukan nama Islam seperti Muhammad atau Ahmad dikategorikan sebagai pengganas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid; Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian D McFeeters dan Timbalan Pengarah Operasi Bahagian Antarabangsa Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Raymond P Duda.

Tegas beliau, Malaysia menghargai usaha kerajaan AS memandang berat isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.

"Polisi AS adalah jelas dan nyata tentang tiada berlaku isu prejudis terhadap sesuatu bangsa dan perbezaan agama.


"Oleh itu, kita berharap kedutaan AS di negara ini boleh membantu menyelesaikan sekiranya berlaku isu seumpama ini," katanya.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan bertajuk 'Twenty Years Too Many, A Call to Stop the Secret Watchlist FBI' memperincikan FBI menggunakan Pangkalan Data Saringan Keganasan yang dikatakan menyasarkan umat Islam.

Ia dikeluarkan oleh Council on American-Islamic Relations (CAIR) pada Isnin lalu.

Menurut laporan, lebih 350,000 nama termasuk beberapa nama seperti Mohamed atau Ali atau Mahmoud dengan 50 nama yang paling kerap muncul membabitkan nama orang Islam.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan hubungan baik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan FBI akan memperkemaskan jalinan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menangani isu semasa pada masa hadapan.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa berada di garisan hadapan dalam memastikan kerjasama baik di peringkat antarabangsa terutama dalam bidang keselamatan dan kesejahteraan negara.

Kata beliau, bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara Asia dalam membanteras jenayah rentas sempadan, malah kerjasama baik antarabangsa dilakukan dengan pelbagai negara luar termasuk AS.

"Semua ini dilakukan bagi memastikan usaha membanteras jenayah antarabangsa atau rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, jenayah kontraban serta keganasan dapat diatasi sebaiknya.

"Kerjasama baik yang ditunjukkan oleh PDRM dan FBI dalam menganjurkan program hari ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah jenayah di peringkat antarabangsa, selain menangani secara baik soal isu pelampau atau keganasan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Negara anggota FBINAA perlu ada undang-undang seragam - Ahmad Zahid

Malaysia sedia bawa pulang rakyat di Rusia

FBINAA berperanan pastikan keselamatan serantau - Razarudin