Negara anggota FBINAA perlu ada undang-undang seragam - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir pada majlis perasmian Persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23.
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir pada majlis perasmian Persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kesemua 49 negara anggota Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik perlu mempunyai undang-undang seragam dalam menangani kegiatan jenayah termasuk keganasan serantau dan jenayah rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu wajar dibincangkan dan mendapat perhatian Amerika Syarikat sebagai pengasas FBINAA.

“Terdapat keperluan untuk satu set undang-undang yang seragam bagi menghapuskan aktiviti haram seperti keganasan transnasional serantau, dadah, jenayah siber, hak sivil, jenayah kolar putih, aktiviti jenayah rentas sempadan dan pemerdagangan manusia.

“Keadaan hari ini tidak memberikan sebarang ruang untuk kita bersikap sambil lewa, tanpa kerjasama yang sewajarnya untuk memerangi unsur negatif di sempadan, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti haram terutamanya jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Presiden FBINAA Antarabangsa, Tim Braniff; Penolong Pengarah Divisyen Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda; Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters; dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.

Ahmad Zahid berkata, kes berkaitan dadah adalah isu utama di negara ini.

"Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa terdapat 108,220 kes berkaitan dadah dan 129,604 tangkapan berkaitan kes itu pada 2021.

“Bagi kes yang berkaitan pembekal dadah dan jumlah tangkapan berkaitan, terdapat trend meningkat daripada 14,823 pada 2020 kepada 16,629 kes pada 2021 dan daripada 23,536 pada 2020 kepada 25,277 kes pada 2021,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kunci untuk memperkukuh keselamatan Malaysia terletak pada dasar ekonomi dan pelaburan yang kukuh.

“Ini antaranya dengan memperkenalkan rangka kerja migrasi yang berkesan, selain menangani permintaan buruh murah, eksploitasi migran serta rasuah awam yang menyemarakkan aktiviti pemerdagangan.

"Saya ingin melihat lebih banyak kerjasama dalam kalangan pasukan penguat kuasa terutamanya polis dan maritim, selain risikan juga penting untuk mengukuhkan mekanisme keselamatan di sempadan," katanya.