Malaysia sedia bawa pulang rakyat di Rusia

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SUBANG - Kerajaan mengambil serius tahap keselamatan 755 rakyat Malaysia di Rusia ekoran situasi tegang dan ancaman peperangan di negara tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau sendiri telah diberi taklimat oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung perkara itu pada Sabtu.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan bersedia untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut sekiranya tahap keselamatan diri tidak terjamin dan terjejas.

Beliau berkata, kerajaan sedang memantau rapi perkembangan yang berlaku di Rusia itu terutamanya di bandar Moscow.

"Perdana Menteri dan saya sendiri telah dimaklumkan berkenaan kedudukan dan situasi 755 rakyat Malaysia di Rusia oleh Menteri Luar Negeri.

"Tindakan keselamatan akan diambil oleh kerajaan sekiranya situasi tidak terjamin, namun kita berharap kedudukan keselamatan akan terjamin.

"Tetapi dalam masa sama, kerajaan melalui Wisma Putra sudah mengatur usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Rusia sekiranya keadaan memerlukan pada bila-bila masa," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid; Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian D McFeeters dan Timbalan Pengarah Operasi Bahagian Antarabangsa Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Raymond P Duda.

Media sebelum ini melaporkan Rusia mengisytiharkan operasi memerangi pengganas di Moscow dan beberapa wilayahnya yang lain pada Sabtu.

Situasi tegang semakin memuncak selepas kumpulan upahan Wagner yang diketuai Yevgeny Prigozhin melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan tentera Rusia.

Yevgeny sebelum ini pernah menjadi sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin.