ATM tubuh jawatankuasa khas siasat kematian Indiran

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertahanan akan menjalankan siasatan terperinci susulan kematian seorang anggota tentera yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Kem Batu 10 Kuantan, Pahang pada Khamis lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan berhubung kematian, Truper K Indiran,22.
"Saya difahamkan bedah siasat baru dibuat pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian. Setakat ini, tiada unsur buli penderaan dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan kematian anggota tersebut.
"Ya, itu saya percaya kita akan buat (jawatankuasa khas) bagi melakukan siasatan dalaman dan menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini, pada Sabtu.
Dalam majlis itu, seramai 200 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Pasir Gudang menerima sumbangan itu.
Terdahulu pada Jumaat, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, Truper K Indiran dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Februari lalu, di kem terbabit dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, anggota terbabit dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Khamis.
Katanya, proses bedah siasat terhadap mayat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan pagi ini.
"Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan fizikal dan kerosakan organ dalaman dialami anggota berkenaan.
"Sehingga kini punca kematian belum dapat dipastikan dan polis sedang menunggu laporan kimia," katanya.
Sementara itu, keluarga mendiang meminta orang ramai menghentikan spekulasi tentang kematian anak mereka.
Ibunya, S Usha, 52, dilaporkan berkata, dia menolak segala andaian yang mengaitkan kematian anaknya itu akibat dibuli atau penderaan hingga mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebaliknya kata Usha, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati tiada bentuk kecederaan fizikal yang dialami anak sulung daripada empat beradik itu.
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian anggota tentera di Kem Batu 10 Kuantan
- Jawatankuasa khas akan dibentuk untuk siasatan penuh
- Bedah siasat tidak menunjukkan unsur buli atau kecederaan fizikal
- Truper K Indiran dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia setelah dihantar ke hospital
- Keluarga mendiang meminta menghentikan spekulasi dan menolak andaian kematian akibat dibuli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

