FBINAA berperanan pastikan keselamatan serantau - Razarudin

Ahmad Zahid merasmikan majlis persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23 pada Isnin.
Ahmad Zahid merasmikan majlis persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23 pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan serantau dan global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, trend jenayah yang semakin kompleks memerlukan kerjasama agensi penguatkuasaan secara kolektif untuk memeranginya.

"Program FBINAA juga penting dalam menjalinkan hubungan yang lebih baik di kalangan anggota dan pegawai dari setiap agensi penguat kuasa," katanya dalam ucapan semasa majlis perasmian persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23 di sini pada Isnin.

Persidangan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Razarudin berkata, Akademik Kebangsaan FBI menyediakan latihan penyiasatan berkaitan jenayah siber, hak sivil, jenayah terancang rentas sempadan, 'weapons of mass destruction' dan jenayah kolar putih.

"Kerjasama yang meluas dalam latihan itu telah memberi keputusan yang lebih baik dalam memerangi jenayah rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata, FBINAA Asia Pasifik telah ditubuhkan pada tahun 1984 yang terdiri daripada 49 negara termasuk Malaysia.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa dipandang tinggi, latihan sebagai medium untuk meningkatkan kemahiran penyiasatan dan pengurusan untuk memanfaatkan penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Razarudin berkata, beliau mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap persidangan itu kerana ia turut menyediakannya peluang yang lebih luas untuk pegawai PDRM meluaskan rangkaian kerjasama.

"Saya amat berharap persidangan itu akan menjadi platform untuk setiap agensi penguat kuasa bekerjasama dan perkongsian yang lebih aktif bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam membanteras jenayah," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Antarabangsa FBI Raymond P Duda berkata, kerjasama antarabangsa dalam kalangan agensi penguatkuasaan pelbagai adalah penting untuk mengekang jenayah sempadan.

"Kita perlu bekerjasama rapat serta berkongsi maklumat di peringkat antarabangsa untuk membendung ancaman tersebut," katanya.