Khaled dakwa Bersatu Johor kini dalam krisis

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan situasi semasa Bersatu Johor ibarat retak menanti belah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan situasi semasa Bersatu Johor ibarat retak menanti belah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pertukaran Menteri Besar Johor membongkar lebih banyak isu dalaman Bersatu Johor, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, pelbagai pihak menyangka pertukaran Menteri Besar Johor sebelum ini, hanyalah berpunca daripada kegagalan menjalankan amanah dengan cemerlang serta kekecewaan masyarakat terhadap pentadbiran PH.

"Rupa-rupanya pertukaran tersebut ibarat membuka pekung di dada yang secara tidak langsung turut membongkar lebih banyak isu dalaman Bersatu Johor.

"Selaku Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini melantik Datuk Osman Sapian sebagai Pengerusi Bersatu Johor.

"Namun, susulan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Johor, pelantikan pengerusi yang seterusnya tidak sunyi dari spekulasi dan perselisihan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, jangkaan semua pihak adalah mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat, akan menjadi calon berkemungkinan diangkat mengepalai Bersatu Johor.

Katanya, bagi meredakan spekulasi dan khabar angin, Muhyiddin memaklumkan bahawa pengumuman Pengerusi Bersatu Johor akan dibuat olehnya tidak lama lagi, yang dijangka selepas Aidilfitri.

"Namun adalah sangat memeranjatkan apabila Tun Dr Mahathir (Mohamad) pula telah terlebih dahulu mengumumkan YB Mazlan Bujang yang baharu sahaja digugurkan dari Exco Johor sebagai Pengerusi Bersatu Johor.

Artikel Berkaitan:

"Pengumuman tersebut bukan sahaja tidak meredakan spekulasi tentang perpecahan dan isu dalaman Bersatu Johor khususnya antara Muhyiddin dan Dr Mahathir, malah menguatkan lagi sangkaan kita selama ini," katanya.

Beliau berkata, pelantikan dan pengumuman Dr Mahathir secara jelas merupakan satu tamparan hebat yang memberi kesan kepada air muka dan kepimpinan Muhyiddin.

"Lebih-lebih lagi, pengerusi baharu ini dikatakan sebagai calon dari pasukan atau kem yang dianggap tidak menyebelahi pasukan yang menerajui kerajaan negeri sekarang, yang nyata memihak dan berada di belakang Muhyiddin.

"Semua ini sekali gus menyerlahkan bahawa Bersatu Johor benar-benar sudah terbahagi kepada beberapa kem atau pasukan," katanya.

Mohamed Khaled berkata, apa yang jelas kepada masyarakat adalah Bersatu Johor sedang mengalami satu krisis dalam dan perpecahan yang tidak dapat disembunyikan lagi.