CEO Kelantan FC umum lepas jawatan Naib Presiden KAFA

Ahmad Muzakkir Hamid
Ahmad Muzakkir Hamid
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) TRW Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkuat kuasa Jumaat.

Ahmad Muzakkir berkata, langkah tersebut dibuat bagi memberi fokus kepada jawatan baharu beliau bersama TRW Kelantan FC.

"Oleh itu, segala siaran media tidak perlu menyebut atau memasukkan jawatan saya lagi sebagai Naib Presiden KAFA," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA.

Terdahulu, Bernama melaporkan TRW Kelantan FC telah melantik Ahmad Muzakkir sebagai CEO kelab berkenaan berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Hal Ehwal Usahawan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) Malaysia itu yang merupakan siswazah dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam dilantik menerajui TRW Kelantan FC kerana mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam pembangunan sukan khususnya bola sepak. - Bernama