Pemilik kedai stiker tanpa lesen didenda RM500

Mahkamah Majistret Telok Datok
Mahkamah Majistret Telok Datok
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pemilik kedai stiker didenda RM500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan tanpa lesen Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Majistret Khairul Farhi Yusob menjatuhi hukuman berkenaan selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Lelaki berusia 30-an ini didakwa mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2007.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abdul Rahim dan Ahmad Razali Bin Abdul Manaf, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding berasingan, mahkamah telah mengeluarkan satu waran tangkap berhubung kes semak samun di Bandar Mahkota Banting mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Tiga lagi waran dikeluarkan atas kesalahan UUK 28(1)(a) Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Perindustrian MDKL 2007, Seksyen 46(1) (e) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan perlu mendapatkan lesen sebelum beroperasi.

Menurutnya, mulai 1 April 2022, MPKL telah menggunakan sistem Smart Selangor Parking yang boleh diakses melalui telefon bimbit.

"Sistem ini adalah mudah, tanpa perlu mencari mesin membayar parking dan tidak perlu menggunakan kupon.

"MPKL akan sentiasa mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang MPKL sedia ada," katanya.