X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

MTUC kesal nasib pekerja di negara

J Solomon
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melahirkan rasa kesal kerana pekerja di negara ini terus menderita kerana dieksploitasi oleh majikan dan diberikan gaji yang rendah walaupun memberikan sumbangan besar kepada negara.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kerajaan perlu diingatkan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan sektor buruh di negara berdasarkan komitmen yang telah mereka berikan kepada negara selama ini.

Beliau berharap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan meraikan Hari Pekerja pertama selepas mengambil alih pentadbiran negara supaya membuat pembaharuan secara menyeluruh walaupun terdapat beberapa inisiatif telah dilakukan.

"Kurang setahun lalu, Malaysia meraikan fajar baru dengan pemilihan kerajaan baharu. Terdapat harapan yang tinggi, kerana pekerja dan kesatuan sekerja telah menderita terutama beberapa tahun semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Kami memohon kerajaan baharu tidak berdolak dalik untuk menunaikan janji mereka. Harus ada tindakan, keghairahan dan kemahuan politik dan yang paling penting mengembalikan maruah pekerja yang hilang," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas sempena Hari Pekerja dan sambutan ulang tahun ke-70 MTUC di sini hari ini.

Menyentuh tentang pelaksanaan gaji minima sebanyak RM1,100, Solomon berkata, jumlah tersebut tidak mencukupi walaupun Kerajaan PH telah menjanjikan sebanyak RM1,500 sebelum pentadbiran mereka berakhir.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya kerajaan serius mempertimbangkan cadangan MTUC untuk memberikan gaji minima sebanyak RM1,800 terutama kepada golongan B40 berdasarkan cadangan Bank Negara dan Institut Penyelidikan Khazanah.

"Peningkatan kos sara hidup telah menjadi tidak terurus, dan kumpulan berpendapatan rendah sangat menderita.

"Kami berharap pembaharuan yang akan dilakukan akan menjadi titik permulaan yang baik dalam memulihkan keadaan ketidakseimbangan yang memihak kepada pemodal sejak beberapa dekad," katanya.

Ujar beliau, jika dikira pertumbuhan ekonomi negara sejak kemerdekaan, pekerja tidak diberikan haknya, kontrak sosial perlu dirombak semula, manakala kuasa ekonomi dan politik wajar dialihkan daripada kadar satu peratus kepada 99 peratus.

Tambah Solomon, tema Hari Pekerja iaitu Masa Depan Pekerja, sangat bersesuaian dengan cabaran getir yang terpaksa dilalui oleh golongan tersebut pada ketika ini.

"Peraturan telah ditulis atau dibiarkan tanpa bertulis sejak beberapa dekad yang lalu untuk memihak kepada perniagaan besar. Ini telah menyebabkan jurang kekayaan dan pendapatan semakin melebar," katanya.

Beliau membidas golongan majikan yang mengamalkan eksploitasi dengan pemberian kontrak yang tidak adil, menafikan upah yang sepatutnya diterima serta perwakilan kesatuan sekerja yang adil.

Sehubungan itu, Solomon meminta supaya pembaharuan terus dilakukan bagi menghalang amalan bersifat eksploitasi oleh majikan termasuk aktiviti anti kesatuan sekerja. "Mahkamah Perusahaan juga harus bertindak sebagai mahkamah bersama yang mempunyai hati nurani yang baik dalam pengertian sebenar dan mengiktiraf peranan yang dimainkannya untuk menjamin keadilan sosial di negara ini," ujarnya.

"Hak untuk mendapat upah yang sewajarnya dan perwakilan kesatuan sekerja adalah hak asasi manusia, dan tidak boleh digadikan oleh perniagaan atau mereka yang mempunyai kepentingan," kata beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!