Polis rampas ganja lebih 7kg di Ipoh

Azizi
Azizi
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya merampas dadah dipercayai jenis ganja seberat 7.4 kilogram (kg) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Rokam di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, rampasan tersebut dibuat susulan tangkapan seorang lelaki berusia 39 tahun oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada jam 12.15 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui sejumlah peket dan ketilan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran berat 7.4kg, anak benih disyaki pokok ganja dan cecair ganja sebanyak 90ml.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak turut menyita tiga kenderaan, lapan utas jam tangan, seutas rantai, dua bentuk gelang dan wang tunai berjumlah RM150,000 selain turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita berjumlah RM724,729 dan tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azizi berkata, susulan tangkapan pertama itu juga, seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Rokam di sini jam 1.15 pagi pada Selasa.

Katanya, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan bersama ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 40 gram bernilai RM400.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, kedua-dua suspek dipercayai mula aktif dalam kegiatan mengedar dadah sejak tahun 2021.

Katanya, dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan dan jumlah tersebut boleh digunakan seramai 3,000 orang penagih dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Mei bagi membantu siasatan.

"Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya Polis Diraja Malaysia," katanya.

Azizi berkata, pihak polis menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan penyalahgunaan dadah agar tindakan membanteras jenayah ini dapat terus dipertingkatkan.