Penduduk bimbang hutan simpan diceroboh

Thomas Su (kiri) mendengar aduan daripada Halimah mengenai aktiviti penebangan pokok di Hutan Simpan Gunung Bujang Melaka berhampiran dengan Kampung Kuala Dipang.
Thomas Su (kiri) mendengar aduan daripada Halimah mengenai aktiviti penebangan pokok di Hutan Simpan Gunung Bujang Melaka berhampiran dengan Kampung Kuala Dipang.
A
A
A

KAMPAR - Penduduk Kampung Kuala Dipang di sini, berasa curiga dengan aktiviti penebangan pokok di Hutan Simpan Gunung Bujang Melaka yang dikesan sejak sebulan lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Halimah Din berkata, penduduk tidak mengetahui wujudnya aktiviti penebangan itu sehinggalah kawasan itu mula 'terang' hingga dapat dilihat di jalan utama ke kampungnya.

Menurutnya, lebih membimbangkan, penebangan pokok tersebut dilakukan berhampiran dengan kolam simpanan air Sungai Kampar milik Lembaga Air Perak.

"Dapat dilihat kawasan sepanjang bahu jalan berhampiran kawasan penebangan ada kesan tanah merah yang dibawa arus hujan dipercayai berpunca daripada aktiviti tersebut.

“Kami sendiri tidak mengetahui apa-apa projek di kawasan itu malah tiada sebarang papan tanda dinaikkan menunjuk pemberitahuan aktiviti atau projek di situ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Thomas Su menunjukkan sebahagian kawasan hutan yang terang dipercayai berpunca daripada aktiviti penebangan pokok.
Thomas Su menunjukkan sebahagian kawasan hutan yang terang dipercayai berpunca daripada aktiviti penebangan pokok.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk kampung dan menggesa pihak berkenaan hentikan sebarang aktiviti di kawasan berstatus hutan simpan itu.

Artikel Berkaitan:

“Gunung Bujang Melaka merupakan kawasan tumpuan bagi pendaki dan pencinta alam sekitar. Sekiranya berstatus hutan simpan, aktiviti penebangan itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita cuba mendapatkan respon daripada pihak Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Daerah Kampar mengenai isu ini. Setakat ini, tiada penjelasan diterima,” katanya.

Katanya, pihak terlibat perlu tampil menjelaskan mengenai aktiviti tersebut bagi mengelakkan tragedi Pos Dipang pada 1996 berlaku lagi.

“Dapat dilihat aktiviti ini berlaku di kawasan loji air dan lambat laun ia akan memberi kesan kepada hampir 1,000 penduduk di sini.

“Hutan simpan ini perlu dilindungi daripada sebarang kemusnahan dan diharapkan pihak berkenaan dapat hentikan aktiviti mereka itu,” katanya.

Penebangan pokok di kawasan hutan dapat dilihat penduduk dari jalan utama sekaligus mencetuskan kebimbangan kepada mereka.
Penebangan pokok di kawasan hutan dapat dilihat penduduk dari jalan utama sekaligus mencetuskan kebimbangan kepada mereka.