Hutan Simpan Kuala Langat Utara diwarta semula

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) diwarta semula menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada dua minggu lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu itu dianggap sudah selesai selepas proses pewartaan hutan simpan itu dilakukan.

"Dah warta tapi ada sebahagian yang kita keluarkan untuk jajaran paip Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan Kampung Busut Baru (Kampung Orang Asli)

"Keseluruhan keluasan kawasan HSKLU telah dimuktamadkan pada dua minggu lepas dan pengumuman tersebut akan dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS)," katanya ditemui pada Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 (PSKNS) di Pusat Konvensyen MBSA di sini pada Sabtu.

Isu nyah warta HSKLU mendapat perhatian aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung membentuk gerakan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU).

Penyahwartaan itu dimaklumkan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Ogos 2021.

Loy Sian memaklumkan kira-kira 536.7 hektar dari keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta dan sebanyak 581.48 hektar kawasan turut diluluskan sebagai gantian.