Pelabuhan cetek sukarkan pendaratan ikan

Keadaan jeti Pelabuhan LKIM Chendering di Kuala Terengganu yang semakin cetek menyukarkan proses pendaratan ikan.
Keadaan jeti Pelabuhan LKIM Chendering di Kuala Terengganu yang semakin cetek menyukarkan proses pendaratan ikan.
A
A
A

APA Khabar Rakyat kali ini menyingkap cabaran dialami golongan nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, Kuala Terengganu yang berdepan masalah muara cetek serta kekurangan fasiliti di jeti pendaratan ikan itu.

Isu berkenaan dilihat semakin ketara berlaku dan dikhuatiri akan menyebabkan jumlah pendaratan ikan semakin merosot malah para nelayan juga tidak menolak mungkin semua jenis bot tidak boleh lagi mendarat di situ sekiranya keadaan tersebut tidak diatasi.

Wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM dan RAHAYU MUSTAFA menemubual beberapa nelayan untuk berkongsi masalah dialami mereka.

Masalah muara cetek di Pelabuhan LKIM Chendering yang berlarutan sejak sekian lama menyukarkan para nelayan terutama pengusaha bot laut dalam untuk masuk ke pelabuhan itu bagi mendaratkan ikan.

Pelabuhan berkeluasan 41 hektar termasuk 33 hektar harbour basin (kawasan bot berlabuh) yang mula beroperasi pada 1983 itu merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan yang dibina untuk mengendalikan bot C2.

Seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Kamal, 58, berkata, jeti di pelabuhan itu kini masih boleh digunakan oleh 20 hingga 30 buah bot nelayan kelas A dan B serta terdapat beberapa buah bot kelas C.

Walaupun begitu, katanya, tidak semua bot berkenaan boleh mendarat kerana masalah muara cetek yang semakin ketara berlaku dikhuatiri menyukarkan kesemua jenis bot untuk memasuki pelabuhan itu.

“Masalah ini dipercayai berpunca daripada kerosakan pada bahagian benteng pemecah ombak serta masalah mendapan pasir. Sejak benteng pemecah ombak yang dibina di kawasan ini rosak, ia tidak lagi berfungsi dengan baik menyebabkan pasir-pasir masuk ke pelabuhan ini.

Masalah kerosakan benteng pemecah ombak dan mendapan pasir menyebabkan kawasan jeti Pelabuhan LKIM Chendering di Kuala Terengganu semakin cetek dan menyukarkan laluan bot untuk berlabuh.
Masalah kerosakan benteng pemecah ombak dan mendapan pasir menyebabkan kawasan jeti Pelabuhan LKIM Chendering di Kuala Terengganu semakin cetek dan menyukarkan laluan bot untuk berlabuh.

“Masalah itu bertambah buruk apabila berlaku mendapan pasir setiap kali berlaku air pasang yang menyebabkan laluan menjadi semakin cetek sekali gus menghalang bot-bot untuk masuk ke pelabuhan ini.

"Jika ia tidak segera diatasi, dalam tempoh dua tahun lagi kemungkinan semua jenis bot sudah tidak boleh melalui laluan ini,” katanya pada Selasa.

Selain itu, menurut Kamal, masalah kerosakan fasiliti yang disediakan di pelabuhan itu juga menyukarkan nelayan untuk mendaratkan ikan di situ.

“Ada disediakan kren untuk memudahkan nelayan memindahkan ikan dari bot ke pelabuhan. Namun, alatan itu sudah rosak sejak sekian lama dan sehingga kini tidak dibaiki.

“Begitu juga dengan bekalan elektrik dan air. Kemudahan itu sebenarnya penting bagi golongan nelayan namun ia tidak disediakan dengan lengkap malah tidak mencukupi untuk kegunaan mereka yang tertumpu di sini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Jusoh, 64, berkata, sejak menjadi nelayan ketika berusia 12 tahun, masalah muara cetek paling ketara berlaku kali ini.

“Dulu kawasan muara yang menjadi pendaratan ikan di sini dalam, jadi tiada masalah bot untuk mendaratkan hasil laut. Sekarang apabila sudah ada jeti, air pula cetek dan keadaan ini menyukarkan nelayan terutama bot laut dalam.

“Selain isu muara cetek, nelayan di sini turut berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan minyak dan air batu,” jelasnya.