Dua sahabat baik berdepan hukuman mati

Tertuduh ketika tiba di pekarangan mahkamah pada Khamis.
Tertuduh ketika tiba di pekarangan mahkamah pada Khamis.
A
A
A

TAMPIN - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gemas, di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar dadah di kebun getah Felda Jelai 4, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Ikmal Hafsham Muhammad Shukor dan Zulhisyam Zainal masing-masing berusia 39 tahun merupakan sahabat baik membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dibacakan secara bersama, kedua-dua tertuduh telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 300 gram.

Bagi pertuduhan kedua, mereka telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 50 gram.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 31 Mac lepas di kebun getah Felda Jelai 4, kira-kira jam 10.30 pagi.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh Zulhisyam turut didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Dewan Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pada pukul 9.20 pagi, 1 April 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun manakala Seksyen 38B memperuntukkan tertuduh menjalani perintah pengawasan bagi tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun sebagaimana ditetapkan mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh serahan laporan kimia bagi tertuduh.