11 lelaki ponteng solat Jumaat ditahan JHEAT

Seramai 11 lelaki ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas dikesan meninggalkan kewajipan solat Jumaat dalam satu operasi di sekitar bandaraya ini pada Jumaat. - Foto JHEAT
Seramai 11 lelaki ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas dikesan meninggalkan kewajipan solat Jumaat dalam satu operasi di sekitar bandaraya ini pada Jumaat. - Foto JHEAT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 11 lelaki ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas dikesan meninggalkan kewajipan solat Jumaat dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini pada Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, semua lelaki beragama Islam berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan sekitar jam 2.10 petang di lokasi berkenaan.

Menurutnya, mereka dikesan sedang berkumpul dan berbual sesama sendiri sehingga habis waktu solat Jumaat.

“Ketika ditahan, ada di kalangan mereka memberi alasan baru balik dari masjid.

“Namun ia hanya satu helah kerana penguatkuasa wanita kita sudah membuat risikan di lokasi sejak jam 1.15 petang lagi sebelum tangkapan dibuat sejurus solat Jumaat selesai,” katanya di sini pada Jumaat.

Khairul Azizi berkata, 11 individu terbabit berdepan dakwaan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016) kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Bagi kesalahan itu katanya, individu terbabit boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jamin hadir ke mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, Ops Ponteng Solat Jumaat dilaksanakan melibatkan beberapa pegawai penguatkuasa Syariah lelaki dan wanita dari daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Khairul Azizi turut menasihati lelaki beragama Islam agar tidak culas menunaikan ibadah solat Jumaat kerana ia merupakan kewajipan bagi setiap Muslim yang tidak mengalami sebarang keuzuran.

“Mengikut enakmen kesalahan jenayah takzir, mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan satu kesalahan dan mereka boleh dihukum.

"Oleh itu, kita akan sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan secara lebih kerap bagi memastikan seluruh umat Islam di negeri ini tidak culas dalam melaksanakan ibadah itu," katanya.