Mangsa banjir di Johor menurun kepada 5,111

PPS SRJK (C) Ping Ming, Kluang merupakan antara PPS yang ditutup pada Khamis. - Foto APM Kluang
PPS SRJK (C) Ping Ming, Kluang merupakan antara PPS yang ditutup pada Khamis. - Foto APM Kluang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan penurunan apabila seramai 5,111 mangsa daripada 1,430 keluarga dilaporkan berada di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah negeri ini setakat jam 4 petang pada Khamis.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, penurunan berkenaan turut menyaksikan lima PPS ditutup manakala dua PPS baharu dibuka.

“Setakat jam 4 petang Khamis, sejumlah 53 PPS masih beroperasi di tujuh daerah terjejas melibatkan Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Batu Pahat dan Muar.

“Setakat 4 petang, Segamat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,468 mangsa daripada 428 keluarga masih ditempatkan di 17 PPS di sekitar daerah berkenaan.

“Daerah kedua yang merekodkan jumlah mangsa paling ramai ialah Mersing yang mencatatkan 1,173 mangsa daripada 359 keluarga yang masih berada di 10 PPS, manakala daerah Kluang merekodkan seramai 1,170 mangsa daripada 320 keluarga kini berada di tujuh PPS di daerah berkenaan,” menurut laporan berkenaan.

Sementara itu, berdasarkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras air di tiga sungai melibatkan Sungai Gemas di Segamat, Sungai Kahang (Kluang) dan Sungai Endau (Mersing), masih berada pada aras bahaya.

Menurut laporan berkenaan, ketiga-tiga sungai masih berada pada aras sama dengan Sungai Gemas iaitu 19.31 meter, Sungai Kahang (15.91 meter) dan Sungai Endau, 2.49 meter.

“Setakat ini tiada amaran ribut petir daripada pihak Meteorologi Malaysia apabila hujan diramalkan berlaku hanya di Segamat dan Kulai pada sebelah petang Khamis,” menurut laporan berkenaan.