Perdana Menteri selesai segera barah rasuah

Masalah rasuah tidak boleh dibiarkan berterusan. - Foto 123RF
Masalah rasuah tidak boleh dibiarkan berterusan. - Foto 123RF
A
A
A

TANGGAL 24 November 2022 mencatat sejarah tersendiri dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pelantikan itu memberikan harapan dan sinar baharu kepada seluruh rakyat Malaysia kerana Anwar telah menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan gejala rasuah serta penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Malah, beliau akan turut memberi keutamaan dalam aspek tata kelola pentadbiran kerajaan.

Justeru, tidak hairanlah jika pendedahan demi pendedahan berkaitan ketirisan dana di beberapa agensi termasuk dalam Kementerian Kewangan dibongkar, sementelah Anwar sendiri turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

Beliau berkata, terdapat banyak kecurangan yang dianggap keterlaluan di Kementerian Kewangan yang dilihat ketika menyemak fail-fail di kementerian berkenaan.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilihat semakin rancak menjalankan kerja-kerja ‘pembersihan’ melibatkan beberapa agensi kerajaan sejak kebelakangan ini.

Saban hari ada sahaja berita melaporkan individu terlibat perbuatan rasuah diberkas dan dituduh di mahkamah termasuk penjawat awam terutama yang terbabit dengan tender perolehan kerajaan.

Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri sendiri baru-baru ini mendedahkan Malaysia mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion wang rakyat sekiranya tiada ketirisan berlaku dalam sistem perolehan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Ternyata, ia satu jumlah yang amat besar jika disalurkan kepada pembangunan atau penambahbaikan infrastruktur awam, malah ramai rakyat marhaen dapat menikmati kemudahan tersebut jika dana awam digunakan dengan berintegriti.

Penggunaan sistem perolehan dalam talian pada permukaannya nampak telus dan terbuka berikutan semua urusan daripada pihak pembekal serta pembeli dilakukan secara dalam talian, sekali gus menyingkirkan unsur-unsur rasuah dan berat sebelah.

Bagaimanapun, ada segelintir pembekal tidak bertanggungjawab akan mencari jalan berhubung terus dengan pegawai kerajaan yang menguruskan tender berkenaan untuk menghulurkan ‘duit kopi’.

Lebih mengejutkan apabila baru-baru ini media melaporkan beberapa individu termasuk pengarah urusan dan pengurus besar sebuah syarikat yang menjadi orang tengah untuk mendapatkan projek-projek menerusi program khas kerajaan bernilai RM114 juta.

Bagaimana seorang pengurus sebuah syarikat swasta yang merupakan orang awam mampu menentukan syarikat mana memenangi tender kerajaan dan mengaut untung tanpa perlu membuat apa-apa?

Sudah semestinya ia berlaku kerana ada pegawai-pegawai kerajaan yang tamak dan telah selalu menerima ‘duit kopi’ untuk bersekongkol dengan individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Jenayah rasuah itu dijalankan secara sistematik di setiap peringkat dalam proses perolehan, di mana pegawai atasan menerima wang mencecah jutaan ringgit sementara pihak di bawah termasuk pembekal sendiri yang melakukan semua kerja menerima peratusan keuntungan paling sedikit.

Kerana tidak mahu tanggung kerugian, pembekal pula akan membekal peralatan dan perkhidmatan sekadar ‘cukup syarat’ sahaja yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna kerana terpaksa menggunakan peralatan tidak berkualiti.

Jadikanlah iktibar pendedahan skandal perolehan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beberapa individu termasuk bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan pecah amanah dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

Malah, pendedahan Perdana Menteri berhubung RM3 bilion hingga RM4 bilion bocor kepada parti dan tokoh tertentu menjadi satu kejutan besar seluruh rakyat Malaysia.

Ketika hidup rakyat umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, individu-individu berkenaan nampaknya hidup senang lenang hasil mencuri wang hasil titik peluh rakyat.

Masalah itu tidak boleh dibiarkan berterusan. Tindakan drastik dan holistik perlu diambil bagi menangani isu yang sekian lama telah membantutkan pembangunan negara.

Kita berharap agar Perdana Menteri ambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama menjadi barah di negara ini.

* Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil ialah Wartawan Sinar Harian