Pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 hilang diteruskan

Laporan Sinar Harian Selasa lalu.
Laporan Sinar Harian Selasa lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Pencarian kapal kargo Malaysia, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu diteruskan pada Jumaat dengan bantuan sebuah kapal besar, dua bot peronda selain pesawat APR300 daripada pihak Maritim Indonesia.

Pengarah Carilamat dan Bantuan Bencana, Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Putrajaya, Laksamana Pertama Aminuddin Abdul Rashid berkata, pencarian masuk hari kedua itu memberikan fokus di sekitar kawasan selatan Pemangkat, Kalimantan, Indonesia dalam usaha mengesan kapal kargo berkenaan.

Malah katanya, usaha pencarian ini juga bukan lagi di bawah Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Johor lagi tetapi di bawah (MRCC) Putrajaya kerana ia telah melibatkan kawasan perairan antarabangsa.

“Sekarang ini sektor pencarian bukan lagi dalam perairan Malaysia...dah masuk ke perairan Indonesia, oleh itu hari ini (Jumaat), pihak agensi mencari dan menyelamat dari Indonesia telah mulakan pencarian dan kawasan yang diberikan fokus adalah di kawasan selatan Pemangkat iaitu di Kalimantan.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita masih belum menemui apa-apa petunjuk dalam pencarian berkenaan...tiada sebarang petanda seperti objek, tumpahan minyak atau lain-lain. Tidak ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan kes kehilangan sebuah kapal kargo yang berlepas dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak.

Berdasarkan jadual, kapal kargo berukuran 52 meter dan membawa muatan 527 batang besi paip bernilai RM726,205 itu sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kapal kargo yang dikendalikan lima kru melibatkan tiga rakyat Malaysia dan dua rakyat Indonesia berusia 20 hingga 57 tahun itu dilaporkan hilang serta tidak tiba di Kuching Sarawak pada tarikh yang telah ditetapkan.

Lokasi terakhir kapal itu dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

Maklumat diperoleh pada jam 10.42 malam Isnin lalu, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan dari kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya tidak dapat membuat sebarang kepastian berhubung kehilangan kapal kargo berkenaan.

“Walaupun kebarangkaliannya ada, tetapi kita tak boleh buat sebarang andaian. Cuma yang pasti ketika ini usaha pencarian masih diteruskan dan diharapkan akan membawa kepada sesuatu yang positif,” ujarnya.