Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

Nurul Hizam (kiri). Sebuah kapal Kargo MV Dai Cat 06 hilang sejak 10 hari lalu dan kali terakhir dikesan berdekatan 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor pada 1 Januari lalu.
Nurul Hizam (kiri). Sebuah kapal Kargo MV Dai Cat 06 hilang sejak 10 hari lalu dan kali terakhir dikesan berdekatan 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor pada 1 Januari lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah kapal kargo yang berdaftar di Malaysia, MV Dai Cat 06 dilaporkan hilang dengan lokasi terakhir dikesan di perairan Indonesia pada 1 Januari lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kejadian itu dari MRSC Langkawi pada jam 5.13 petang Isnin.

"Maklumat diterima ekoran satu laporan polis yang telah dibuat semalam pada jam 12.11 tengah hari oleh ejen kapal terbabit.

"Ejen mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 telah keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember tahun lalu.

"Lokasi terakhir kapal ini dikesan melalui sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam Isnin, satu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) telah dikesan dari kapal kargo MV Dai Cat 06 pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

Jelasnya, isyarat kecemasan itu dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura.

Jelas Nurul Hizam, kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warganegara Indonesia yang berumur antara 20 hingga 57 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu buat andaian kehilangan kapal ini, sebelum mendapat maklumat tepat berkenaan kes ini kerana di laut macam-macam boleh terjadi.

"Kapal Kargo ini membawa muatan 527 batang besi paip bernilai RM726,205. Pihak Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo MV Dai Cat 06.

"Pihak MRSC Johor Bahru turut menghantar NAVTEX bagi memohon bantuan komuniti maritim sekiranya mempunyai maklumat mengenai kehilangan kapal ini," ujar beliau.

Tambahnya, komuniti maritim dimohon untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401 sekiranya mempunyai maklumat.