Klinik Bina Modul Rasuah Busters bantu lahirkan pemikir kreatif

A
A
A

SHAH ALAM - Penggemblengan buah fikiran daripada pelbagai lapisan masyarakat merupakan adunan terbaik mencipta modul sistem pencegahan isu rasuah dan usaha pemantapan integriti dalam masyarakat.

Pasukan Teras Rasuah Busters, Fazrul Ismail berkata, perkongsian kefahaman serta pengalaman pelbagai pihak daripada sektor kerajaan dan swasta bukan sahaja mampu membentuk modul pencegahan rasuah sempurna, malah berupaya melahirkan golongan pemikir jitu memerangi budaya rasuah.

Menurutnya, sebuah modul yang baik akan mengambil kira elemen-elemen yang boleh diterjemahkan kepada masyarakat terutama melibatkan aspek integriti serta nilai-nilai murni seperti amanah dan bertanggungjawab.

Selain itu katanya, proses dan pembinaan modul yang berkesan menerusi formula tepat bakal menyaksikan ilmu dan pemindahan kemahiran dapat disampaikan sebaiknya kepada golongan sasar.

"Rasuah Busters merupakan platform yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat untuk bertukar-tukar buah fikiran, seterusnya membentuk modul pencegahan rasuah dan meningkatkan isu integriti kepada negara.

"Bagi tujuan mendapatkan modul terbaik, pengemblengan ilmu, pengalaman bertugas serta input perlu disatukan sekali gus mendapatkan hasil yang boleh diguna pakai bagi mencegah perbuatan rasuah dan menyelamatkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penganjuran Klinik Bina Modul Rasuah Busters bertajuk Pembinaan Teras Generasi Malaysia Berintegriti.

Penganjuran program bertujuan membentuk kerangka dasar bagi pembinaan model dan solusi kepada isu berkaitan governans, antirasuah dan integriti secara bersasar.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut merupakan anjuran Rasuah Busters dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas yang diadakan di Media Karangkraf pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fazrul berkata, selain memanfaatkan Klinik Bina Modul Rasuah Busters sebagai perkongsian kefahaman dan pengemblengan ilmu bagi mencari 'ubat' atau formula mencegah rasuah, program serampang dua mata itu turut bertindak membentuk ejen pemikir atau pembina modul berjaya.

Menurutnya, menerusi sesi percambahan ilmu, pembinaan modul bersama serta proses menganalisis maklumat yang diperoleh merupakan latihan terbaik membentuk peserta menjadi pemikir yang kreatif.

Jelasnya, pembina modul yang berjaya akan bertindak memantau keberkesanan hasil kerja dan dalam masa yang sama akan turut mengaplikasi apa yang dihasilkan.

"Pemikir modul akan turut bertindak memindahkan kemahiran kepada orang ramai dengan berkesan.

"Selain berupaya merubah budaya rasuah atau salah guna kuasa daripada terus membarah dalam masyarakat, ia juga bakal menjadi solusi tambahan kepada aktiviti pencegahan terhadap budaya jijik tersebut," katanya.