Pelitup muka: Akur tapi masih keliru

Sahratun memakai pelitup muka sewaktu mengendali makanan di kedai. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Faizul, Mohd Izuddin
Sahratun memakai pelitup muka sewaktu mengendali makanan di kedai. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Faizul, Mohd Izuddin
A
A
A

GOMBAK - Peniaga makanan dan minuman di Selangor akur dengan arahan kerajaan negeri yang mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi meningkatkan tahap kebersihan penyediaan makanan.

Peniaga, Muhammad Faizul Harun, 24, berkata, walaupun terkejut dengan peraturan tersebut namun mula membiasakan diri memakai pelitup muka sejak mula di kuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurutnya, pemakluman tersebut tidak diketahui secara rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaliknya melalui rakan-rakan peniaga dan laporan media.

"Agak merimaskan juga apabila perlu pakai pelitup muka ketika mengendalikan makanan kerana berpeluh dan panas tetapi kita kena lihat peraturan itu dari sudut positif demi menjaga kebersihan.

"Dari segi penguatkuasaan, saya harap PBT berikan masa yang cukup sekurang-kurangnya enam bulan buat peniaga membiasakan diri dengan peraturan baru tersebut," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di Medan Selera Greenwood di sini pada Sabtu.

Muhammad Faizul memakai pelitup muka sewaktu meniaga makanan.
Muhammad Faizul memakai pelitup muka sewaktu meniaga makanan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan semua penyedia dan pengendali makanan di Selangor disaran supaya mematuhi arahan pemakaian pelitup muka berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, peraturan baharu itu merupakan salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang peniaga air, Mohd Izuddin Mohd Nor, 50, berkata, dia berpandangan garis panduan berhubung pemakaian pelitup muka itu tidak jelas dan mengelirukan.

"Garis panduan masih samar, tidak dibincangkan dan tidak dimaklumkan semasa perbaharui permit niaga tetapi tiba-tiba ia dilaksanakan.

"Saya juga hairan kenapa hanya peniaga diwajibkan memakai pelitup muka, sepatutnya pelanggan juga perlu dikenakan arahan sama jika tujuannya mahu menjaga kebersihan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akur dengan arahan tersebut dan berharap peraturan itu dilaksanakan di seluruh negara supaya mudah diselaraskan.

Dalam pada itu, pekerja kedai makanan, Sahratun Nasiman, 39, berkata, majikannya telah mengarahkan semua pekerja untuk memakai pelitup muka sejak peraturan itu dikuat kuasa.

Katanya, walaupun agak susah memakai pelitup muka semasa memasak tapi arahan tersebut terpaksa dipatuhi bagi mengelak dikenakan tindakan.

Seorang peniaga kuih, Nur Fateha Sofia Mohd Azuadi, 16, turut mengakui keliru dengan arahan penguatkuasaan itu kerana hanya memgetahui perkara itu melalui media.

"Ia bagus untuk keselamatan kesihatan dan kebersihan namun saya belum bersedia serta garis panduan juga belum jelas.

" Peniaga berharap diberikan masa secukupnya untuk membiasakan diri dan memahami garis panduan tersebut, " katanya.