MBSJ beri teguran, amaran sebelum kompaun

Laporan akhbar berhubung Selangor wajibkan pengendali makanan pakai pelitup muka berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Laporan akhbar berhubung Selangor wajibkan pengendali makanan pakai pelitup muka berkuat kuasa 1 Januari lalu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak akan mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan dalam tempoh satu hingga tiga bulan ini, terhadap penyedia dan pengendali makanan yang tidak memakai pelitup muka di Selangor.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, MBSJ akan memberikan teguran atau amaran lisan dalam tempoh tersebut sebelum tindakan kompaun dikeluarkan.

Menurutnya, tempoh tiga bulan itu dianggap praktikal buat pengendali makanan membuat persediaan dan membiasakan diri dengan peraturan baharu yang ditetapkan kerajaan negeri itu.

"Di peringkat awal, kita akan mulakan cara lembut untuk beri ruang kepada peniaga tahu dan sedar dengan peraturan tersebut.

"Kita harap peraturan ini dapat disebar dalam kalangan pengusaha. Walaupun telah dimasukkan dalam syarat lesen cuma mungkin ada yang tak baca. Jadi dalam tempoh tiga bulan ini kita harap peniaga lebih bersedia," katanya mengulas Selangor wajibkan pengendali makanan pakai pelitup muka bermula 1 Januari lalu.

Beliau ditemui selepas majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis MBSJ bagi sesi 2023 di Bangunan MBSJ pada Khamis.

Johary berkata, bermula 1 Januari lalu, penguat kuasa kesihatan MBSJ telah membuat pemantauan di lapangan bagi memberi pendedahan berhubung perkara tersebut.

Ujarnya, MBSJ telah mengeluarkan lesen perniagaan makanan terhadap 2,700 pengusaha restoran dan 5,470 lesen penjaja makanan di Subang Jaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap, tempoh itu memadai bagi tambah baik dan penyeragaman garis panduan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

"Ada yang keliru pelitup muka yang perlu digunakan sama ada jenis pelitup muka kesihatan atau pelindung muka (face shield). Jadi undang-undang kecil mengenai perkara ini perlu diselaraskan.

"Jika telah ada peruntukan, kita akan kompaun bagi yang gagal patuh atau tindakan lebih drastik sekiranya kesalahan dilakukan membahayakan pengguna," katanya.

Kerajaan negeri mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor bermula Januari lalu sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ini memberitahu tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan tersebut yang menjadi antara syarat bagi kelulusan lesen perniagaan.