PIBGN sokong wajibkan semula pakai pelitup muka di sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemakaian semula pelitup muka di sekolah.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, tindakan itu wajar sebagai langkah untuk mengekang lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian XBB.1.16 atau dikenali sebagai Arcturus.

“Asasnya kita nak menjaga kesihatan bukan sahaja diri sendiri tetapi awam. Maka, sudah tentu sekolah perlu diutamakan. Dapat dilihat keadaan sekarang berlaku peningkatan kes Covid-19, selain pelbagai penyakit dan virus berbahaya (yang kini) menghantui orang ramai.

“Kita juga melihat keperluan kesihatan di hospital makin lama semakin kritikal. Disebabkan dua aspek ini, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan ia dapat dikawal daripada memulihkan keadaan.

“Kita percaya pemulihan lebih mahal daripada melawan. Oleh itu, pelitup muka amat digalakkan dan kita bersetuju cadangan KKM,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad Ali meminta mana-mana pihak terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat memberikan kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar.

Ujarnya, ia bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan dalam mengekang penularan Covid-19 di sekolah.

“Sudah tentu kita mengharapkan apa sahaja bentuk bantuan seperti pelitup muka kepada pelajar sekolah termasuk kit ujian kendiri untuk dilakukan seminggu sekali. Ini seboleh-boleh dibekalkan KPM untuk menguji tahap kesihatan pelajar,” ujarnya.