iGuru sokong pakai pelitup muka di sekolah

Pemakaian pelitup muka amat penting terutama bagi murid sekolah ketika berada di dalam kelas atau di kawasan tertutup.
Pemakaian pelitup muka amat penting terutama bagi murid sekolah ketika berada di dalam kelas atau di kawasan tertutup.
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia(iGuru) menyokong jika pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, kesihatan dan keselamatan murid perlu diberi keutamaan supaya sekolah menjadi tempat selamat untuk pembelajaran.

"iGuru akan akur kepada ketetapan yang diputuskan nanti hasil perbincangan dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan nanti perlulah jelas dan mengambil kira semua aspek kesihatan dan keselamatan warga sekolah," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, pematuhan kepada SOP yang betul ketika sesi pembelajaran perlu bermula selepas cuti hari raya.

Ujarnya, pihak sekolah perlu melakukan saringan ujian Covid-19 sekiranya ada kes pelajar atau para guru yang bergejala seperti batuk.

"Perlu ditekankan semula amalan penjagaan kesihatan diri seperti kerap membasuh tangan.

"Digalakkan juga memakai pelitup muka jika bergejala dan berada di tempat yang sesak dan ramai orang," katanya.

Tambah Mohd Azizee, jika SOP ini dikuatkuasakan semula, ibu bapa diharap dapat memberikan kerjasama baik kepada pihak sekolah berkaitan anak- anak mereka dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sebelum ini media melaporkan KKM akan mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19.

KPM pula telah pun mengadakan perbincangan khas berkaitan isu penularan Covid-19 dan cadangan pemakaian semula pelitup muka di sekolah seperti yang disarankan KKM.