Peniaga akui bekalan sayur kampung berkurang selepas banjir

Sayur kampung sukar diperoleh selepas banjir baru-baru ini. Gambar kecil: Kuan Hoong
Sayur kampung sukar diperoleh selepas banjir baru-baru ini. Gambar kecil: Kuan Hoong
A
A
A

TEMERLOH - Peniaga di pasar awam Mentakab dekat sini mendakwa kekurangan bekalan sayur kampung dan ulam-ulaman selepas banjir pada Disember lalu.

Situasi tersebut menyebabkan ada segelintir peniaga terpaksa menaikkan harga jualan susulan kesukaran mendapat bekalan sayur tersebut.

Seorang peniaga, Nurlaila Mohd Diah, 58, mengakui situasi itu menyebabkan dia terpaksa menaikkan sedikit harga jualan antaranya pucuk paku yang dijual dengan harga RM2.50 seikat berbanding RM2 sebelum ini.

"Terpaksa sebab orang yang cari sayur kampung atau pembekalnya dah lama tak hantar sayur disebabkan banjir baru-baru ini.

"Saya pun faham kemampuan pelanggan dan mereka pun sedar sebab selepas banjir agak sukar nak dapatkan sayur macam ini," katanya yang telah berniaga di pasar tersebut sejak 20 tahun lalu.

Nurlaila bersama sayur kampung yang dijual.
Nurlaila bersama sayur kampung yang dijual.

Dalam pada itu, Nurlaila berkata, selain pucuk paku, turut dijual jantung pisang, pucuk ubi, daun kesum selain ulam-ulaman seperti selom.

Seorang lagi peniaga, Chiam Kuan Hoong, 41, berkata, dia juga terpaksa menaikkan harga jualan dan mendakwa situasi itu kian teruk sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Semua naik harga sekarang ini, memang membebankan peniaga kecil seperti kami serta pengguna," tambahnya.

Sementara itu, Zaharah Abdul Rahman, 82, memberitahu sejak banjir, peniaga kecil sepertinya terpaksa akur dengan kekurangan bekalan sayur kampung selepas banjir.

"Nak tak nak kena tunggu juga sebab selepas banjir, banyak tanaman terjejas dan ambil masa nak kembali tumbuh," jelas warga emas yang telah meniaga di pasar itu sejak 2002.