Pasar awam lebih 50 tahun diberi keutamaan naik taraf

Nga Kor Ming dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Nga Kor Ming dalam sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

BERUAS - Kerajaan akan beri keutamaan melaksanakan pembangunan semula ke atas pasar awam berusia lebih 50 tahun, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut beliau, langkah itu mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan memandangkan kebanyakan pasar awam di negara ini berada dalam keadaan usang dengan masalah bumbung bocor dan banjir.

"Mana-mana pasar berusia 50 tahun ke atas, saya akan beri keutamaan sama seperti balai bomba sama ada dinaik taraf atau bina semula.

"Ini kerana setiap bangunan ada hayatnya dan had umur (akan usang), samalah dengan pasar jadi adalah perlu untuk kita beri keutamaan dan pertimbangan sewajarnya," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Awam Ayer Tawar di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, antara pasar lama yang menerima pembangunan semula di negeri ini adalah Pasar Awam Pasir Pinji yang berusia 62 tahun menerusi peruntukan RM12 juta.

Selain itu katanya, kementerian juga menaik taraf Pasar Taiping iaitu premis pasar tertua di Malaysia yang dibina sekitar tahun 1880-an sebagai Pasar Warisan Negara.

Pasar Awam Ayer Tawar menerima pembangunan semula melalui peruntukan KPKT sebanyak RM3.5 juta.
Pasar Awam Ayer Tawar menerima pembangunan semula melalui peruntukan KPKT sebanyak RM3.5 juta.

"Pasar ini sedang dalam pembinaan dan saya dah sarankan supaya siap menjelang tahun hadapan bersempena sambutan ulang tahun 150 bandar Warisan Taiping," katanya.

Dalam lawatan itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut meluluskan peruntukan RM5.48 juta kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Kampung Baru Cina meliputi 24 projek menaik taraf dan penyelenggaraan.

Jumlah itu termasuk peruntukan RM3.5 juta bagi kerja meruntuh dan membina semula Pasar Awam Ayer Tawar yang beroperasi sejak 1973.

Kor Ming berkata, pembangunan pasar awam berkenaan mengambil kira Indeks Bangunan Hijau dan penggunaan tenaga solar yang lebih moden dan selesa.

Nga Kor Ming (kiri) menyerahkan surat kelulusan 24 projek menaik taraf dan penyelenggaraan bagi daerah Manjung kepada YDP MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Nga Kor Ming (kiri) menyerahkan surat kelulusan 24 projek menaik taraf dan penyelenggaraan bagi daerah Manjung kepada YDP MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh.

"Pembangunan semula pasar awam ini akan menjadi satu mercu tanda baharu untuk komuniti di sini dan mengharumkan nama Manjung sebagai bandar pelancongan dan Maritim," katanya.