Keputusan rayuan saman levi pelepasan 14 Mac

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga anggota panel Mahkamah Rayuan pada Rabu menetapkan 14 Mac sebagai tarikh untuk membuat keputusan berhubung rayuan seorang peguam berkaitan samannya terhadap Menteri Kewangan dan kerajaan mengenai pengenaan levi pelepasan ke atas rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mempengerusi panel itu berkata, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan isu-isu dibangkitkan oleh pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Panel yang turut dianggotai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nazlan Mohd Ghazali dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah, telah mendengar hujah oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili R Kengadharan, dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Kementerian Kewangan dan kerajaan.

Kengadharan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Februari 2020 yang menolak samannya.

Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019, Kengadharan mengatakan bahawa Akta Levi Pelepasan 2018 dan Perintah Levi Pelepasan 2019 adalah melanggar hak asasi untuk melakukan perjalanan ke luar negara, dan memohon deklarasi bahawa perintah itu melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutan.

Pengenaan levi pelepasan itu dimulakan oleh kerajaan sebelum ini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, apabila pada 2 Ogos 2019, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng berkata, pengembara yang keluar negara perlu membayar antara RM8 dan RM150 sebagai levi berlepas mulai 1 September 2019.

Pada 27 Februari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman difailkan Kengadharan setelah memutuskan bahawa mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Loh Wai Kong, yang menetapkan bahawa hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara bukan merupakan hak mutlak

Dalam prosiding yang dilaksanakan secara dalam talian pada Rabu, Sri Ram berhujah bahawa pengenaan levi pelepasan terhadap tiap orang yang melakukan perjalanan ke luar negara bersifat diskriminasi dan menambah bahawa hak untuk ke luar negara merupakan hak asasi.

Beliau berkata, peruntukan yang dikemukakan adalah tidak mematuhi perlembagaan kerana dengan mengenakan levi pelepasan, hak anak guamnya untuk melakukan perjalanan ke luar negara telah dinafikan.

Artikel Berkaitan:

Suzana pula berhujah bahawa Akta Levi Pelepasan telah digubal secara sah selaras dengan Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga menetapkan bahawa hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara bukanlah hak mutlak. - Bernama