Operasi Ampang Jajar Sungai Muda dijangka pulih pada Rabu

Kenyataan NRECC pada Isnin. Laporan Sinar Harian pada Ahad
Kenyataan NRECC pada Isnin. Laporan Sinar Harian pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memaklumkan operasi pintu Ampang Jajar Sungai Muda bagi tujuan pemulihan dan menaikkan aras air dijangka akan pulih sepenuhnya pada Rabu ini.

NRECC dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah pemulihan susulan gangguan teknikal yang menyebabkan air Sungai Muda surut ke paras 0.67 meter (m) berbanding 1.85 m itu telah dijalankan melalui pelepasan air daripada Empangan Beris mulai jam 8:45 pagi pada 14 Mei lalu.

“Sebagai langkah tindakan jangka pendek, semua operasi pintu Ampang Jajar Sungai Muda akan ditukarkan daripada mod automatik kepada mod manual sepanjang tempoh musim kering ini.

“Bagi memastikan sistem dapat berfungsi dan beroperasi dengan baik, penggantian kesemua 14 alat angkat (actuator) akan disegerakan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, kira-kira 251,800 akaun bekalan air di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan mendadak paras air Sungai Muda.

Dalam pada itu, menurut kenyataan NRECC, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membuat siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan teknikal pada sistem kawalan pintu.

“Semua agensi-agensi di negeri yang terlibat akan sentiasa memantau perkara ini bagi memastikan sumber dan bekalan air dapat dipulihkan.

“Bekalan dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat di semua kawasan termasuk di hujung sistem agihan bekalan sehingga 17 Mei 2023 (Rabu),” ujarnya.

Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) telah memasang 'Submersible Pump’ bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Kulim HiTech, Sungai Petani & Pinang Tunggal beroperasi.

Menurutnya, pihak SADA juga telah memohon bantuan lori tangki air melalui SPAN kepada rakan operator dan turut menggerakkan bantuan lori tangki milik SADA kepada pengguna di kawasan terjejas.

“Bekalan telah mula pulih di mana LRA Kulim HiTech telah kembali beroperasi 100 peratus pada 8 malam 14 Mei 2023 (Ahad).

“Bagi LRA Sungai Petani & Pinang Tunggal, pam Air Mentah LRA Sungai Petani telah beroperasi sebanyak 45 peratus pada jam 10:00 malam manakala Pam Air Mentah LRA Pinang Tunggal telah beroperasi sebanyak 70 peratus pada 10:00 malam 14 Mei 2023.

“LRA Sungai Dua pula telah beroperasi menggunakan sumber air mentah Empangan Mengkuang dengan pengeluaran air terawat sebanyak 90 peratus pada 11:00 malam 14 Mei 2023,” jelasnya.