Masalah banjir di Segamat, JB dibawa kepada PM

Akmal Nasrullah (tiga dari kiri) menyaksikan Anwar menandatangani plak di Masjid Jamek, Kampung Melayu Majidee, pada Jumaat.
Akmal Nasrullah (tiga dari kiri) menyaksikan Anwar menandatangani plak di Masjid Jamek, Kampung Melayu Majidee, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masalah banjir yang sering melanda di daerah Segamat selain banjir kilat di sekitar bandar raya ini dijangka menjadi tumpuan utama kerajaan sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Johor, pada Jumaat.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, isu berkenaan antara yang dikemukakannya kepada Perdana Menteri sempena lawatan kerja tersebut.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, isu banjir di Segamat, selain banjir kilat yang sering berlaku di Johor Bahru dilihat sebagai isu yang mendesak dan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Persekutuan.

"Kita tahu ada beberapa daerah tertentu berhadapan risiko banjir contohnya di Segamat dan bandar raya Johor Bahru yang terdedah banjir kilat.

"Oleh itu, saya sempat mengangkat permasalahan berkaitan masalah banjir di Johor kepada Perdana Menteri tadi, (Jumaat) dan sememangnya komitmen kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu yang mendesak ini.

"Kementerian juga akan cuba angkat isu penyelesaian banjir bukan sahaja di Johor malah di lokasi-lokasi lain yang mendesak, supaya ia dapat diberikan keutamaan dan sekali gus dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Februari nanti," katanya pada Jumaat.

Akmal Nasrullah (duduk, tiga dari kiri) pada majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Melayu Majidee, pada Jumaat.
Akmal Nasrullah (duduk, tiga dari kiri) pada majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Melayu Majidee, pada Jumaat.

Sebelum itu, Akmal Nasrullah bersama ribuan jemaah Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee, meraikan ketibaan Anwar ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat fardu Jumaat sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Johor, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Akmal Nasrullah menegaskan kerajaan bakal meneliti isu banjir dengan lebih teliti termasuk membabitkan projek tebatan banjir di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, mana-mana projek tebatan banjir yang telah dipersetujui sebelum pilihan raya lalu bakal diteruskan.

"Projek yang sesuai, kita akan teruskan tetapi ada juga projek yang memerlukan penelitian lanjut.

"Jika projek berkenaan membabitkan projek tebatan banjir di PBT itu amat mendesak dan perlu dimasukkan ke dalam Belanjawan 2023, saya yakin kerajaan negeri akan mencadangkan ia kepada kerajaan pusat.

"Apa pun, bagi saya, isu mendesak seperti banjir wajar diberikan pertimbangan khas," katanya.