Tapak projek guna sisa binaan disyaki dari Singapura diarah henti kerja serta-merta

Zaidi (tiga dari kiri) ketika meninjau kawasan penambakan di Jalan Kampung Tenggayun Mukim Rimba Terjun pada Khamis.
Zaidi (tiga dari kiri) ketika meninjau kawasan penambakan di Jalan Kampung Tenggayun Mukim Rimba Terjun pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN – Sebuah tapak projek penambakan tanah di Mukim Rimba Terjun diarah menghentikan operasi serta-merta selepas didapati melanggar beberapa syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk dipercayai menggunakan sisa bahan binaan yang dibawa masuk dari Singapura.

Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati pihak terlibat melakukan kerja tanpa kelulusan Borang B selain gagal mematuhi syarat pengurusan trafik, pemasangan hoarding, papan tanda keselamatan dan pengurusan bahan buangan.

Timbalan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Zaidi Jafar berkata, kegagalan memperoleh kelulusan Borang B sebelum memulakan kerja merupakan pelanggaran paling serius kerana aktiviti pembangunan itu dijalankan tanpa kebenaran sah.

Menurutnya, pihak pemaju hanya mengemukakan permohonan Borang B kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) pada Rabu, sedangkan proses kelulusan lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua minggu.

"Pada saya, pelanggaran ini jelas dan keterlaluan. Sepatutnya kerja-kerja ini tidak boleh dimulakan sebelum kelulusan diperoleh.

"Justeru, kita mengarahkan kerja di tapak ini dihentikan serta-merta dan PBT akan mengeluarkan senarai kesalahan yang telah dilakukan," katanya selepas meninjau lokasi projek di Jalan Kampung Tenggayung pada Khamis.

Zaidi (tengah) meninjau kawasan penambakan di Jalan Kampung Tenggayun Mukim Rimba Terjun pada Khamis.
Zaidi (tengah) meninjau kawasan penambakan di Jalan Kampung Tenggayun Mukim Rimba Terjun pada Khamis.

Beliau berkata, kerja di tapak berkenaan dipercayai telah bermula sejak kira-kira seminggu lalu, namun aktiviti yang lebih aktif dikesan berlaku sejak tiga hingga empat hari kebelakangan ini.

Menurutnya, pihak berkuasa turut menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan jalan yang kotor, manakala pemeriksaan mendapati terdapat lambakan sisa bahan binaan di kawasan tersebut.

"Johor bukan tempat pelupusan sisa bahan binaan. Kita juga bimbang aspek keselamatan teknikal kerana penggunaan bahan seperti ini boleh menjejaskan kestabilan cerucuk.

"Pada masa depan, keadaan itu berpotensi menyebabkan struktur bangunan menjadi senget, retak dan menimbulkan risiko keselamatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk membenarkan kemasukan sisa pembinaan dari Singapura ke negara ini.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan berlakunya penyalahgunaan permit lain untuk membawa masuk bahan buangan tersebut.

"Kita tidak pernah mengeluarkan permit bagi kemasukan sisa pembinaan ke Malaysia. Mereka dipercayai menggunakan permit lain untuk membawa masuk bahan berkenaan.

"Kita kini bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menyiasat perkara ini," katanya.

Menurut beliau, lokasi berkenaan merupakan tapak baharu yang dikesan menjalankan aktiviti tersebut dan tindakan penutupan akan dilaksanakan bagi menghalang kegiatan berkenaan daripada berterusan.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab juga boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta 672 selain diarahkan membersihkan dan mengeluarkan semua sisa pembinaan yang dilonggokkan di kawasan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!