Kes buli pelajar: Gesa siasatan telus, adil - Exco

Siasatan polis berhubung kes buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Tangkak perlu dijalankan secara telus dan menyeluruh. Gambar kecil: Muhammad Naqib
Siasatan polis berhubung kes buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Tangkak perlu dijalankan secara telus dan menyeluruh. Gambar kecil: Muhammad Naqib
A
A
A

TANGKAK - Siasatan polis berhubung kes buli membabitkan pelajar di daerah ini perlu dijalankan secara telus dan menyeluruh tanpa dipengaruhi mana-mana pihak bagi memastikan keadilan kepada semua yang terlibat.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berhubung kejadian berkenaan yang membabitkan seorang mangsa dan tiga individu yang dipercayai terlibat.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai butiran kejadian kerana difahamkan polis sudah memulakan siasatan.

“Saya minta laporan atau siasatan polis itu biarlah dilangsungkan dengan baik tanpa ada pengaruh mana-mana pihak. Biar polis jalankan tugas mereka.

“Pada masa sama, saya juga memohon pihak sekolah dan JPNJ mengambil tindakan susulan berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Johor 2027 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini pada Khamis.

Menurut Muhammad Naqib, kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan kerana membabitkan keselamatan dan kebajikan pelajar yang sepatutnya mendapat perlindungan sewajarnya sepanjang berada di persekitaran sekolah.

Katanya, tindakan susulan pihak sekolah dan JPNJ juga penting bagi memastikan aspek keselamatan pelajar diberi perhatian, selain mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 November lalu, kira-kira jam 12.09 tengah malam.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 13 November lalu di dalam sebuah kelas dan di kawasan pondok sekolah berkenaan.

Perselisihan faham dalam kumpulan WhatsApp dipercayai menjadi punca kejadian apabila mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali oleh tiga pelajar terbabit pada beberapa bahagian badan.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kiri kepala, dada, perut serta lengan kiri.

Polis kemudian mengenal pasti tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun bagi membantu siasatan. Temu bual awal mendapati mereka mengakui terbabit dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!