Majlis angkat sumpah Exco Negeri Sembilan tidak jadi

KUALA PILAH - Majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang sebelum ini dilaporkan dijadualkan berlangsung di Istana Seri Menanti pada Ahad tidak menjadi kenyataan.
Menurut sumber, majlis berkenaan tidak dapat diteruskan selepas beberapa individu yang sebelum ini dikaitkan dengan pelantikan barisan Exco baharu dipercayai menarik diri pada saat akhir.
"Sebelum ini mereka ada mengadakan pertemuan dan ketika itu dimaklumkan ada pihak yang menarik diri. Jadi hari ini majlis angkat sumpah tidak diteruskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut dihubungi berhubung perkembangan majlis tersebut memaklumkan perkara itu perlu dirujuk kepada pihak istana.
Sebelum ini, media melaporkan seramai tujuh Exco baharu dijangka mengisi barisan pentadbiran Negeri Sembilan, berbanding 10 anggota sebelum ini, dengan majlis angkat sumpah dijadualkan berlangsung pada Ahad.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan pelantikan Exco baharu akan dilakukan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkembangan tersebut menyusul selepas 24 daripada 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mencapai kata sepakat pada malam 20 November lalu untuk akur dan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti dalam usaha menyelesaikan kemelut politik negeri berkenaan.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan negeri, termasuk proses pembentukan barisan Exco baharu, ketika kemelut politik Negeri Sembilan masih belum menemui jalan penyelesaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
