Sektor awam catat tangkapan tertinggi SPRM Johor tahun ini

Tangkapan dalam kategori sektor awam itu merangkumi penjawat awam, kakitangan syarikat GLC dan badan berkanun.
Tangkapan dalam kategori sektor awam itu merangkumi penjawat awam, kakitangan syarikat GLC dan badan berkanun.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sektor awam mencatat jumlah tangkapan tertinggi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor sepanjang tahun ini, melibatkan 41 individu atau 51.9 peratus daripada keseluruhan 79 tangkapan yang direkodkan.

Timbalan Pengarah SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid berkata, tangkapan dalam kategori sektor awam itu merangkumi penjawat awam, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

Beliau berkata, baki tangkapan pula membabitkan 20 orang awam dan 18 individu daripada sektor swasta, masing-masing mewakili 25.3 peratus dan 22.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Sepanjang tempoh sama, sebanyak 71 kertas siasatan (KS) dan 101 kertas penyiasatan awal (KPA) telah dibuka, manakala 10 KS direkodkan bagi pertuduhan pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Sheikh Hamadi berkata, SPRM Johor turut merekodkan 92 aduan dan menerima 129 maklumat daripada pelbagai sumber termasuk orang ramai, laporan media, pegawai serta surat layang.

Beliau berkata, maklumat yang diterima tidak semestinya menjurus kepada kesalahan rasuah kerana setiap maklumat perlu melalui proses penilaian terlebih dahulu bagi menentukan bentuk kesalahan dan bidang kuasa agensi yang berkaitan.

"Maklumat yang diterima akan dibawa kepada cawangan penilaian bagi menentukan skop kesalahan yang terlibat, sama ada berada di bawah bidang kuasa SPRM atau perlu dirujuk kepada agensi lain,” katanya.

Beliau berkata, proses penilaian itu penting bagi memastikan setiap maklumat yang diterima diteliti mengikut peruntukan undang-undang dan tindakan susulan dapat dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Sheikh Hamadi berkata, statistik aduan, tangkapan dan penyiasatan perlu ditafsirkan mengikut kategori serta konteks masing-masing kerana peningkatan atau penurunan angka tidak semestinya menggambarkan perubahan sebenar tahap integriti dalam kalangan masyarakat atau penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dan penyiasatan akan terus dilaksanakan bagi menangani perlakuan rasuah serta salah guna kuasa, selain memastikan setiap kes yang dikenal pasti ditangani secara profesional dan berlandaskan undang-undang. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!