Isu pemilikan tanah Kampung Baru Pandan: Ketua Pemuda UMNO Iskandar Puteri lapor polis

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Muhamad Farkhan Mohd Haron membuat laporan polis pada 18 November lalu berhubung kenyataan dan perkongsian di media sosial yang didakwa menjejaskan nama baiknya serta mengandungi unsur ugutan berkaitan isu pemilikan tanah di Kampung Baru Pandan, di sini.
Bekas petinju profesional negara itu berkata, laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap kenyataan dan perkongsian di media sosial terbabit.
“Untuk makluman, urusan pemilikan tanah PTD 97343 (Lot 8263), Mukim Tebrau, Daerah Johor Bahru telah melalui saluran rasmi pentadbiran tanah.
“Ia meliputi permohonan, kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan penyempurnaan bayaran yang ditetapkan sebelum hak milik didaftarkan pada 4 Ogos 2026,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, urusan berkenaan disokong rekod serta dokumen rasmi yang berkaitan.
Muhamad Farkhan berkata, persoalan mengenai status tanah, sejarah penggunaan serta urusan kelulusan perlu diteliti berdasarkan rekod rasmi dan dokumen lengkap daripada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau turut mengambil maklum kebimbangan masyarakat berhubung penggunaan tapak berkenaan bagi aktiviti kemasyarakatan termasuk dakwaan ia merupakan tanah rizab pasar atau dikhaskan untuk kegunaan komuniti.
Sehubungan itu, beliau bersedia memberikan kerjasama bagi membolehkan perkara berkenaan diperjelaskan menerusi semakan rekod oleh pihak berkuasa.
Beliau turut memohon semua pihak tidak membuat kesimpulan mengenai salah laku atau penyalahgunaan kedudukan sebelum keseluruhan fakta dan dokumen diteliti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

