Muhammad Farhan meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di ICU

MUAR – Seorang lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia semalam selepas dua hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), susulan kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Persimpangan Jalan Jati, di sini, pada 19 November lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu melibatkan motosikal yang ditunggang Muhammad Farhan Bachok@Mohd Aking dan sebuah Honda CR-V dipandu wanita berusia 46 tahun.
Menurutnya, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Parit Jawa menghala ke Bandar Muar sebelum motosikal ditunggangnya bertembung dengan SUV berkenaan.
Siasatan awal mendapati, Honda CR-V terbabit sedang membelok ke kanan untuk memasuki Jalan Jati, manakala mangsa meneruskan perjalanan secara lurus di laluan utama.
Motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian pintu penumpang belakang sebelah kiri kenderaan tersebut.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada kaki kanan serta kecederaan dalaman di bahagian perut sebelum dikejarkan ke HPSF Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu Honda CR-V bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 21 November lalu, kira-kira jam 10.43 pagi ketika menerima rawatan di ICU HPSF Muar.
Punca kematian mangsa disahkan sebagai polytrauma with multiple organ failure.
Sehubungan itu, kes berkenaan yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) akta sama.
Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum melakukan pergerakan membelok atau memasuki persimpangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
