Pejabat Parlimen Johor Bahru salur RM80,000 bantu mangsa ribut

Akmal Nasrullah (tengah) ketika melawat salah sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee yang terjejas dalam kejadian ribut Rabu lalu.
Akmal Nasrullah (tengah) ketika melawat salah sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee yang terjejas dalam kejadian ribut Rabu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pejabat Parlimen Johor Bahru akan menyalurkan bantuan sebanyak RM80,000 bagi membantu mangsa ribut di Kampung Melayu Majidee di sini Rabu lalu.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bantuan berkenaan disalurkan dalam bentuk wang tunai atau bantuan kos sara hidup melibatkan makanan dan sebagainya.

"Bantuan ini disalurkan setelah berbincang dengan pegawai dan juga pihak sukarelawan yang turut berada di tempat kejadian.

"Apa pun, Insya-ALLAH dalam minggu ini juga kita akan salurkan kepada mangsa," katanya pada Sabtu.

Akmal Nasrullah berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kampung Melayu Majidee bagi meninjau keadaan rumah yang terjejas.

Difahamkan sebanyak 258 rumah yang terkesan dalam kejadian itu.

Sementara itu Akmal Nasrullah berkata, jumlah keseluruhan kerosakan akibat ribut akan diketahui apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membentangkan laporan dalam mesyuarat yang dijangka diadakan esok bersama pegawai daerah.

"Kita minta pihak JKR selaraskan perkara ini kerana ia melibatkan banyak rumah yang rosak teruk," katanya.