Pindaan Akta Kerja: Pekerja sudah lama berkorban - MTUC

Mohd Effendy ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk ‘Akta pekerja: Majikan pening, staf bersorak’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Mohd Effendy ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk ‘Akta pekerja: Majikan pening, staf bersorak’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani menekankan bahawa pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang meliputi pemberian tuntutan kerja lebih masa itu dapat membantu menambahkan pendapatan pekerja terutamanya daripada kumpulan B40.

Beliau berkata, pekerja di dalam negara sudah melakukan pengorbanan cukup lama dengan menerima kadar gaji yang tidak berpadanan dengan peningkatan kos sara hidup di dalam negara.

“Kita lihat kenapa siling (tuntutan kerja lebih masa) RM2,000 itu yangg bertahun-tahun kita buat tapi kini akhirnya pekerja kita yang gaji RM4,000 juga boleh mula dapat gaji tuntutan elaun kerja lebih masa.

“Sebabnya yang bergaji RM4,000 itu adalah B40 dan majoriti B40 ada dalam itu. Maka itu bila adanya siling yang baharu, inilah sebenarnya cara bagi membantu pekerja B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk ‘Akta pekerja: Majikan pening, staf bersorak’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Hadir sama dalam acara dihoskan oleh Fahiz Ariff ialah Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Mohd Effendy berkata, secara umumnya 13 pindaan yang dilaksanakan di bawah akta itu merupakan pelaburan jangka panjang untuk kebaikan pekerja, majikan dan kerajaan.

Katanya, ini kerana selain memberikan perlindungan menyeluruh terhadap kesemua segmen pekerja, ia juga dapat membolehkan negara memenuhi kehendak perjanjian perdagangan antarabangsa yang amat penting dalam mencipta peluang pekerjaan di dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pindaan itu juga sangat penting kerana Malaysia dilihat sudah ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara dalam isu membabitkan perlindungan kebajikan terhadap pekerja.

“Tempoh cuti bersalin kita dalam kalangan negara ASEAN adalah paling terbawah. Contohnya Vietnam, Kemboja dan Myanmar mereka memang dah sedia lebih daripada 90 hari untuk cuti bersalin.

“Pekerja dalam negara kita adalah aset kepada majikan dan negara. Jadi ini adalah pelaburan dan pengorbanan yang saya nampak perlu dibuat oleh majikan untuk manfaat jangka panjang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pindaan tersebut bakal menjadi punca utama kepada kenaikan kos sara hidup di dalam negara yang membebankan pengguna.

“Harga barangan ini kalau kita lihat sebelum 1 Mei 2022 pun, iaitu semasa kita mula kuat kuasa gaji minimum RM1,500, harga seperti telur, ayam dan minyak memang dah naik pun,” jelasnya.