Pindaan Akta Insolvensi bolehkan 2 kategori bankrap dapat pelepasan

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Insolvensi 1967 membolehkan dua lagi kategori baharu individu bankrap layak dilepaskan melalui pengeluaran sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tanpa perlu melalui bantahan pemiutang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dua kategori itu ialah individu bankrap yang tidak mampu menguruskan diri sendiri akibat penyakit mental yang disahkan oleh pakar psikatiari hospital kerajaan serta individu bankrap berusia 70 tahun ke atas yang layak pada pendapat dan pertimbangan KPI.

Beliau berkata, pindaan itu melibatkan Fasal 8, subseksyen 33B (2A) dengan masukan dua kategori itu sebagai perenggan (e) dan (f).

"Pindaan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memelihara kebajikan bankrap. Golongan ini tidak lagi mempunyai keupayaan untuk memberikan kerjasama dan sumbangan kepada pentadbiran kebankrapan.

"Faktor kepentingan awam juga perlu diambil kira memandangkan pentadbiran kebankrapan melibatkan dana awam yang perlu digunakan dengan optimum,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Azalina juga berkata, Fasal 15 rang undang-undang itu memperuntuk pemakaian perenggan 33B(2A) (e) dan (f) terhadap kes kebankrapan yang ditadbir sebelum kuat kuasa akta pindaan secara retrospektif.

Beliau berkata, susulan pindaan itu, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia seramai 19,913 orang bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas layak dipertimbang untuk pelepasan melalui sijil KPI sekiranya mereka memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, cadangan pindaan bagi Seksyen 33C Fasal 8 rang undang-undang itu pula bertujuan membantu individu bankrap dilepaskan secara automatik dalam tempoh singkat iaitu tiga hingga lima tahun dengan meringankan syarat bayaran tanpa mengabaikan kepentingan pemiutang.

Azalina berkata, pindaan yang dikemukakan bagi seksyen itu dapat memastikan pentadbiran kebankrapan dijalankan dengan berkesan dengan mengambil kira kepentingan awam, bankrap dan pemiutang.

Antara pindaan penting yang dicadangkan bagi Seksyen 33C ialah syarat penyelesaian amaun sumbangan sasaran atas hutang yang diperakukan digantikan dengan syarat pembayaran jumlah yang ditentukan KPI mengikut kemampuan kewangan bankrap.

"Selain itu, peruntukan baharu kuasa KPI menggantung pelepasan automatik untuk tempoh tidak melebihi dua tahun jika bankrap tidak mematuhi kewajipan dan obligasinya di bawah akta itu serta kuasa KPI meminta individu bankrap memberikan maklumat lanjut mengenai pendapatan, pendapatan yang dijangka dan harta bankrap,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama