Kerajaan negeri disaran bantu pengusaha e-hailing

Zainol Fadzi ketika sesi perbahasan Bajet Negeri Perak 2023 di Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
Zainol Fadzi ketika sesi perbahasan Bajet Negeri Perak 2023 di Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak disaran memberi perhatian terhadap pengusaha e-hailing di negeri ini dengan memberikan bantuan sewajarnya kepada golongan berkenaan.

Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik-PN) berkata, perkhidmatan e-hailing dilihat menjadi pengangkutan awam yang menjadi pilihan utama rakyat ketika ini berbanding pengangkutan awam lain.

Menurutnya, peruntukan berjumlah RM2.1 juta bagi pengangkutan awam luar bandar bagi perkhidmatan Bas Perak Sejahtera yang diumumkan di dalam Bajet Negeri 2023 tidak seharusnya menjurus kepada kawasan luar bandar tetapi kawasan bandar.

"Banyak rakyat kini terlibat sama dalam industri pengangkutan awam dengan wujudnya e-hailing di bandar dan luar bandar yang telah menjadi pengangkutan awam pilihan utama rakyat generasi dunia digital.

"Besarlah harapan rakyat yang kini terlibat dalam sektor ini agar diberikan perhatian oleh kerajaan negeri menilai sektor ini agar diberikan bajet khusus supaya masa depan pengangkutan awam akan lebih terjamin," katanya ketika sesi perbahasan Bajet Negeri Perak 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Zainol Fadzi berkata, kerajaan negeri perlu membentangkan bancian terkini terhadap perbandingan penggunaan pengangkutan awam oleh rakyat.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menyalurkan peruntukan khas atau memberikan bantuan servis kenderaan seperti menukar tayar dan servis utama.

Katanya, selain itu kerajaan negeri juga diharap dapat mempertimbangkan memperuntukkan perlindungan khas kepada golongan pengusaha e-hailing di Perak.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zainol Fadzi turut mencadangkan agar usahawan negeri Perak dilibatkan dalam membantu atlet negeri.

Menurutnya, atlet-atlet ini boleh dilantik sebagai duta khas produk atau servis syarikat berkenaan.

"Dengan sponsorship ini, dapat menjamin atlet itu untuk tidak bersara awal kerana pendapatan dan kos sara hidup yang dialami bekas atlet negeri.

"Kerajaan negeri perlu mencipta satu kerjasama khas ini di antara Majlis Sukan Negeri bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak," katanya.