Rugi RM90,810 ditipu Macau Scam

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A
KUANTAN - Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terpaksa berputih mata apabila ditipu lebih RM90,810 oleh sindiket Macau Scam selepas mendakwa dirinya terlibat dengan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 44 tahun itu menerima panggilan daripada bank yang mengatakan dia mempunyai tunggakan pinjaman peribadi berjumlah RM50,000.

Menurutnya, mangsa membuat penafian tentang pinjaman tersebut kerana tidak pernah membuat sebarang pinjaman peribadi dan kemudian disambungkan ke talian lain untuknya bercakap dengan seorang yang menyamar sebagai anggota polis.

"Suspek memperdaya mangsa dengan mengatakan nama dan akaun bank pengadu terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan perlu membuat bayaran sebanyak RM196,000 untuk tujuan ikat jamin dari kes berkenaan," katanya kepada media dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa hanya menyedari wang sebanyak RM90,810 hilang daripada akaunnya pada Ahad lepas dan telah membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sementara itu, bagi kes berlainan, seorang pelajar sekolah mengalami kerugian berjumlah RM2,000 apabila ditipu dengan barangan online yang tidak wujud.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa tertarik melihat iklan telefon bimbit jenis Iphone X di sebuah laman web pada Jumaat lalu.
Artikel Berkaitan:


"Mangsa telah berurusan dengan suspek dan keesokan harinya memasukkan wang ke akaunnya.

"Mangsa dijanjikan telefon tersebut akan dihantar menggunakan City Link namun selepas itu suspek tidak dapat dihubungi sehingga kini," katanya.

Tambahnya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.