Guru rugi RM187,000 ditipu 'phone scam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Bimbang dan takut ditangkap kerana kononnya terlibat sindiket pemerdagangan orang, seorang guru kerugian RM187,000 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan scam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula, apabila wanita berusia 36 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman pada 10 Mei lalu.

Menurut, mangsa telah diberitahu dirinya terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dimilikinya ke satu akaun bank untuk memudahkan proses siasatan.

"Suspek juga memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai waran tangkap. Mangsa yang bimbang akan dikenakan tindakan tegas mengikut arahan diberikan suspek dan memindahkan wang ke akaun seperti diarahkan.

"Suspek juga meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan untuk melengkapkan siasatan kes itu," katanya dalam satu Kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 seperti diarahkan suspek dan memindahkan wang itu ke akaun terbabit.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua wang dalam akaun itu lesap sebelum membuat laporan polis," katanya lagi.

Laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kuantan pada Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Yahaya sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan pelbagai taktik dilakukan sindiket penipuan dan menghubungi pihak berkuasa sekiranya menerima panggilan mencurigakan.