Usah mengajar khianat arahan parti - Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin - Foto Bernama
Mohd Khairuddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta mana-mana pemimpin politik supaya tidak mengajak ahli Parlimen lain untuk mengkhianat parti sendiri.

Beliau berkata, tidak sewajarnya seseorang itu mengajak ahli Parlimen lain agar membelakangi arahan parti masing-masing.

"Saya membaca tulisan seorang ahli Parlimen yang mengajak ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menentang usul kerajaan di Parlimen nanti.

"Saya berasa tidak wajar mengajak ahli Parlimen membelakangi arahan parti masing-masing.

"Seperti mana kita sendiri tidak suka dan mahu ahli Parlimen daripada parti kita setia dan walak pada arahan parti maka demikianlah sewajarnya diajar dan dididik konsep walak dan kesetiaan dalam parti lain," katanya di Facebook pada Sabtu.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta ahli Parlimen UMNO dan BN yang masih mempunyai hati dan prinsip untuk tidak berteduh di bawah kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) masih boleh menentang usul kerajaan dalam Parlimen.

Kenyataan Ahmad Fadhli di Facebook beliau pada Jumaat.
Kenyataan Ahmad Fadhli di Facebook beliau pada Jumaat.

Jelas Mohd Khairuddin, semua pihak tidak seharusnya memakai dua standard yang berbeza sama ada boleh dan tidak.

Artikel Berkaitan:

"Apabila melibatkan diri sendiri boleh tetapi tidak bagi orang lain atau tidak bagi kita dan boleh bagi orang lain.

"Apabila seorang ahli Parlimen keluar parti ke parti kita ia dipanggil 'hijrah' tetapi apabila daripada parti kita kepada parti lain ia dipanggil 'khianat'.

"Jika seorang ahli Parlimen mahu berbeza dan menentang keputusan partinya dia wajar berhenti daripada parti lalu gugur jawatan sebagai ahli Parlimen," ujarnya.

Tambah beliau, Akta Lompat Parti terkini membenarkan mereka kembali mencalonkan dirinya semula dalam pilihan raya dan berbeza dengan akta sebelumnya yang tidak membenarkan mencalonkan diri semula melainkan selepas lima tahun.

"Itu kelapangan bagi ahli Parlimen untuk mencanggahi arahan parti. Namun, selagi mana kita menjadi ahli kepada satu parti maka wajar walak dan kesetiaan ditumpahkan sepenuhnya," jelasnya.

Menurut Mohd Khairuddin, mereka boleh berbeza pandangan tetapi tidak apabila keputusan telah dibuat oleh parti kerana keputusan ketua dan parti menjadi pemutus kepada segala perbezaan pandangan.

"Itu kaedah dan adab berorganisasi dan berjemaah. Usah mengajar orang lain khianat kepada arahan parti," katanya.