Keputusan kes bekas ahli Parlimen Labuan diketahui esok

Rozman
Rozman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli akan dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM), akan diketahui pada Selasa di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rozina Ayob dijadualkan membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 3 petang.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Rozman, 59, maka beliau akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya beliau akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 6 Mac lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 11 Ogos tahun lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil ialah bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL), Zulkurnain Ayub; bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Chua Kok Ching dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan LPL, Hida Jerman.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman.

Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama