Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat

Anggota APM membawa seorang kanak-kanak di dalam besen ketika menjalankan tugas pemantauan di Kota Tinggi. - Foto APM Kota Tinggi
Anggota APM membawa seorang kanak-kanak di dalam besen ketika menjalankan tugas pemantauan di Kota Tinggi. - Foto APM Kota Tinggi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri Johor terus menunjukkan peningkatan setakat 2 petang Rabu apabila seramai 129 mangsa daripada 35 keluarga kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Segamat dan Kota Tinggi.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dua lagi PPS baharu dibuka di Kota Tinggi melibatkan Dewan Kampung Baru Sungai Mas bagi menempatkan penduduk dari Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar bagi menempatkan penduduk dari Taman Desaru Utama, Bandar Penawar.

“Jumlah mangsa banjir semakin menunjukkan peningkatan dengan dua lagi PPS dibuka pada 9.30 pagi Rabu, iaitu di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar.

Keadaan banjir di Kota Tinggi pada Rabu. - Foto APM Kota Tinggi
Keadaan banjir di Kota Tinggi pada Rabu. - Foto APM Kota Tinggi

“Seramai 26 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas ditempatkan di Dewan Kampung Baru Sungai Mas manakala 42 mangsa daripada 11 keluarga dari Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, ditempatkan di Dewan Muafakat Bandar Penawar,” menurut laporan berkenaan.

Untuk rekod, setakat 12 tengah hari Rabu, hanya seramai 57 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya bagi daerah Segamat yang masing-masing dibuka mulai jam 12 tengah hari pada 11 Disember dan 12 Disember lalu.

Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan seramai 34 mangsa daripada 11 keluarga daripada Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 manakala Balai Raya Kampung Kuala Paya menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Kuala Paya.

Selain itu, paras air sungai di daerah Segamat melibatkan Sungai Muar di Kampung Awat berada pada aras bahaya apabila mencatatkan 19.90 meter berbanding aras normal 18.00 meter manakala Sungai Muar di Buloh Kasap mencatatkan 9.02 meter berbanding aras normal, 7.30 meter.

Artikel Berkaitan:

Suasana PPS di Kota Tinggi. - Foto APM Kota Tinggi
Suasana PPS di Kota Tinggi. - Foto APM Kota Tinggi

Paras air di Sungai Endau di Kampung Labong di daerah Mersing, menunjukkan aras waspada apabila merekodkan bacaan 1.07 meter berbanding 0.50 meter bagi aras normal.

Sementara itu, laporan berkenaan turut mendedahkan mengenai ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), hujan berterusan (buruk) bakal berlaku di Mersing selain beberapa daerah seperti Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru juga perlu berwaspada dengan hujan berterusan yang dijangka berlaku mulai 17 Disember hingga 20 Disember 2022 ini.

Malah, hujan berterusan turut diramalkan berlaku di Johor Bahru, Muar, Mersing, Pontian, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai mulai 12 tengah hari hingga petang, pada Rabu.