Banjir Bukit Raja makin surut, jumlah mangsa terus menurun

Jumlah mangsa dijangka akan terus menurun berikutan air banjir kian surut dan keadaan cuaca yang baik - Foto: APM Selangor
Jumlah mangsa dijangka akan terus menurun berikutan air banjir kian surut dan keadaan cuaca yang baik - Foto: APM Selangor
A
A
A
SHAH ALAM - Keadaan banjir di Bukit Raja, Klang, dekat sini semakin pulih dan jumlah mangsa yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di situ terus menunjukkan penurunan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor memaklumkan, jumlah mangsa di PPS Masjid Bandar Bukit Raja menurun kepada 70 orang daripada 16 keluarga setakat jam 12 tengah hari tadi, berbanding 135 orang daripada 35 keluarga pada Ahad.

"APM Selangor menjangkakan jumlah mangsa akan terus menurun berikutan air banjir kian surut dan keadaan cuaca yang baik hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, beberapa kawasan di Selangor iaitu Bukit Raja, Meru dan Sungai Buloh dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak jam 4 pagi. - Bernama