Johor harap kerajaan kaji, nilai semula projek HSR

Ting Han (tiga kanan) dan Tang Rui (tiga kiri) melihat model HSR selepas Simposium Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Dewan Senat UTM, Johor Bahru, pada Selasa.
Ting Han (tiga kanan) dan Tang Rui (tiga kiri) melihat model HSR selepas Simposium Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Dewan Senat UTM, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor melahirkan harapan agar kerajaan Persekutuan yang baharu akan mengkaji dan menilai semula pelaksanaan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu keputusan Kementerian Pengangkutan berhubung perkara itu sebelum menetapkan langkah seterusnya.

"Memetik kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembatalan projek HSR pada masa itu (sebelum ini) adalah tindakan kurang bijak. Maka, kita harap kerajaan Persekutuan menimbang semula kebolehlaksanaan projek ini supaya dapat mewujudkan limpahan ekonomi di negeri ini.

"HSR ini adalah projek di bawah kawal selia Kementerian Pengangkutan, maka kita perlu lihat cadangan daripada kementerian itu barulah kerajaan negeri memberi ulasan dan macam mana kita boleh bekerjasama daripada segi isu tanah, kebenaran merancang dan sebagainya.

"Projek ini bukan hanya mengenai kerajaan Malaysia tetapi melibatkan kerajaan Singapura serta beberapa negeri lain, jadi kita perlu tunggu keputusan kerajaan Persekutuan baru bincangkan apa hala tuju baharu dan langkah seterusnya buat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Dewan Senat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Kedutaan Republik China di Malaysia, Tang Rui; Timbalan Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia, Datuk Lim Kah Chuan dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail.

September lalu, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dilaporkan memberitahu Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kesediaan republik itu untuk menerima cadangan baharu tentang projek HSR yang ditamatkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Lawrence yang juga Menteri Kewangan Singapura berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan Singapura dan Malaysia saling bekerjasama dalam pelbagai sektor yang akan memberi faedah kepada kedua-dua negara.

Projek HSR yang menyasarkan penjimatan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur dalam masa 90 minit, dihentikan selepas beberapa penangguhan di bawah permintaan Malaysia dan akhirnya perjanjian itu luput pada Disember 2020.

Malaysia membayar lebih S$102 juta (RM326.9 juta) sebagai pampasan kepada Singapura kerana pembatalan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Ting Han berkata, projek infrastruktur itu merupakan satu cara membantu memacu ekonomi negara bagi jangka masa pendek dan sederhana.

Beliau berkata, projek itu diyakini dapat memberi manfaat limpahan ekonomi kepada Johor khususnya selari dengan iltizam Anwar yang berhasrat merancakkan aktiviti ekonomi dan menangani kos sara hidup.

Sementara itu, beliau memberitahu, pada masa kini Johor berada di landasan yang betul bagi melaksanakan langkah pemulihan ekonomi.

"Seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kita jangka pertumbuhan ekonomi antara 6.5 hingga 7 peratus pada tahun ini

berlandaskan kepada pertumbuhan perdagangan yang mendadak.

"Jumlah eksport di Johor adalah sebanyak RM290 bilion manakala jumlah import adalah sejumlah RM210 bilion. Bagi kadar pengangguran di negeri ini adalah 2.5 peratus sahaja berbanding empat peratus pada tahun lalu," ujarnya.