Nak bergembira boleh, tapi fikirkan juga ketenteraman orang lain
NAMPAKNYA, sudah ramai kembali menggunakan pengangkutan awam terutama rel. Saban hari tempahan tiket untuk perjalanan ke utara atau selatan habis dijual walaupun pertengahan minggu atau bulan.
Ketika cuti persekolahan, Merak Jalanan mendapati pergerakan orang ramai semakin meningkat khususnya perjalanan antara negeri-negeri.
Namun di sebalik perkembangan tersebut, ada kalanya kita sebagai penumpang perlulah mempunyai sikap bertimbang rasa apabila berkongsi menaiki pengangkutan awam.
Sama ada perjalanan dekat atau jauh, penumpang tren terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Walau seseronok mana pun atau perasaan teruja kita ketika menaiki kereta api, perlu mengawal perasaan dan tingkah laku.
Bukan apa, Merak Jalanan perhatikan ada penumpang yang bersikap over excited. Ada segelintir penumpang yang bercakap dengan nada yang tinggi diselang-selikan gelak ketawa yang kuat.
Bagi perjalanan malam yang jauh ke utara misalnya, ada penumpang yang memerlukan rehat semasa perjalanan jauh, setelah seharian bekerja. Nada perbualan yang tinggi menyebabkan kanak-kanak yang sedang tidur terbangun, terus menangis dan memerlukan masa untuk meredakan keadaan.
Ketika musim Piala Dunia ini, tidak dinafikan pelbagai peringkat umur ingin mengikut perlawanan bola secara langsung terutamanya melibatkan pasukan kegemaran. Dalam hal ini, keghairahan sorakan dan jeritan ketika menonton perlawanan bola sepak di dalam koc perlu dikawal.
Suasana semakin tidak tenteram dengan gelagat penumpang yang over react setiap kali jaringan gol dilakukan.
Nasihat Merak Jalanan, sama-samalah kita menjaga ketenteraman ketika berada dalam kenderaan awam dengan mencontohi penumpang pengangkutan awam di negara maju seperti Jepun, Perancis dan United Kingdom.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!