'Kantoi' beli makanan segera guna kad ATM milik orang lain

Suspek yang ditahan selepas didapati menggunakan kad ATM orang lain untuk membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Tawau.
Suspek yang ditahan selepas didapati menggunakan kad ATM orang lain untuk membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Tawau.
A
A
A

TAWAU - Tindakan dua individu membeli makanan segera dengan menggunakan wang daripada kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain membawa padah apabila ditahan polis pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, satu laporan polis dibuat oleh pengadu menyatakan bahawa kad ATM yang dimilikinya tercicir sebelum mendapati wang sebanyak RM1,160.90 telah digunakan tanpa pengetahuannya.

"Mangsa memaklumkan bahawa dia menyedari kad ATM miliknya tercicir pada jam 8.10 malam Selasa di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Indah dan hasil pemeriksaan di dalam akaun bank mendapati wang di dalam akaun bank telah berkurangan dan digunakan tanpa pengetahuannya.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kira-kira jam 8 malam seorang remaja perempuan berusia 19 tahun telah membuat pembelian di sebuah restoran makanan segera dengan menggunakan kad ATM itu secara 'PayWave' dan pengadu telah menerima pesanan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan ada penggunaan daripada kad ATM berkenaan di restoran terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, sejurus menerima SMS itu pengadu menyalurkan maklumat kepada polis sebelum tangkapan dibuat di restoran berkenaan.

"Tangkapan dibuat terhadap remaja perempuan terbabit dan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun merupakan adik kepada tunangnya yang turut menggunakan kad ATM berkenaan.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.